SIBU, 2 November: Pergerakan kayu balak di Sarawak kini boleh dipantau secara masa nyata menerusi pelaksanaan sistem Pas Pemindahan Elektronik (ePASS) bagi memperkukuh penguatkuasaan serta memastikan pematuhan terhadap keperluan pengesahan kesahihan kayu di pasaran antarabangsa.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata sistem itu dilaksanakan oleh Jabatan Hutan Sarawak (JHS) sejak September lepas bagi menggantikan penggunaan pas pemindahan konvensional.
Beliau berkata pelaksanaan ePASS bukan sahaja mempercepat proses kerja dan meningkatkan kecekapan pelaporan, malah memperkukuh akauntabiliti menerusi rekod transaksi yang lebih teratur.
“Sistem ini turut menyokong penguatkuasaan yang lebih berkesan serta membantu memperkukuh pematuhan terhadap keperluan pengesahan kesahihan kayu dan peraturan antarabangsa, termasuk Sistem Jaminan Kesahihan Kayu (TLAS) dan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR),” katanya ketika merasmikan sambutan Hari Integriti JHS 2026 di sini hari ini.
Len Talif berkata integriti serta tadbir urus yang baik menjadi benteng utama Sarawak dalam memastikan usaha pemuliharaan hutan dan peralihan ke arah ekonomi hijau dilaksanakan secara telus, sekali gus memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat serta memelihara kelestarian alam sekitar negeri itu.
“Bagi saya, integriti diibaratkan seperti sebatang pokok yang kukuh. Nilai itu mesti dipupuk dari awal melalui pendidikan serta penerapan nilai murni dan dipelihara sepanjang kehidupan dan kerjaya kita menerusi tadbir urus yang telus serta berintegriti tinggi,” katanya. – Bernama





