KUCHING, 2 November: Usaha memelihara seni warisan masyarakat Iban terus mendapat perhatian apabila Persatuan Gendang Pampat dan Main Asal Iban Kuching menunjukkan komitmen dalam memastikan seni tradisional itu terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi muda.
Komitmen tersebut mendapat pujian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang yang hadir sebagai tetamu kehormat pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Kelapan Persatuan Gendang Pampat dan Main Asal Iban Kuching di Pusat Ibadat Ekumenikal Kristian (CEWC) Kuching, semalam.
Pada majlis itu, Mong mengucapkan tahniah kepada persatuan berkenaan atas kejayaan meraih gelaran naib johan dalam Pertandingan Gendang Pampat Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di Miri baru-baru ini.
Beliau turut melahirkan rasa bangga terhadap kesungguhan persatuan berkenaan dalam mempertahankan seni tradisional Gendang Pampat dan Main Asal Iban agar tidak dilupakan ditelan arus perubahan zaman.
Menurutnya, usaha menghidupkan seni warisan berkenaan, khususnya melalui penglibatan generasi muda, amat penting bagi memastikan khazanah budaya masyarakat Iban terus dipelihara.
Pewarisan seni tradisional bukan sahaja bertujuan mengekalkan persembahan budaya, malah menjadi wadah untuk memperkukuh identiti dan jati diri serta meningkatkan penghargaan terhadap keunikan warisan masyarakat Iban.
Sehubungan itu, usaha persatuan sepanjang lapan tahun penubuhannya merupakan sumbangan bermakna dalam memastikan seni Gendang Pampat dan Main Asal Iban terus dikenali serta mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Turut hadir ialah Penaung Persatuan Gendang Pampat dan Main Asal Iban Kuching, Kaunselor Mathew Igoh, serta Pengerusinya, Donald Bada.
Oleh Adi Safarman




