PETRA JAYA, 2 November: Hasrat untuk bersara daripada arena politik mungkin ditangguhkan sekiranya masih mendapat kepercayaan parti dan mandat rakyat untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dalat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 akan datang.
Penyandang kerusi DUN Dalat, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, beliau bersedia meneruskan khidmat sekiranya masih diperlukan oleh parti dan diberi kepercayaan untuk bertanding.
Menurutnya, walaupun faktor usia mendorong beliau mempertimbangkan persaraan, amanah yang diberikan parti tetap menjadi keutamaan sekiranya khidmatnya masih diperlukan.
“Sebelum ini, saya pernah menyatakan bahawa mungkin sudah tiba masanya untuk saya bersara kerana faktor usia.
“Saya menyatakan bahawa sekiranya masih mendapat sokongan rakyat dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) masih mahukan saya, saya akan berkorban. Itulah ikrar PBB”, katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan hormat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, SAC Kumarasan Muniandy di bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Fatimah yang juga Ketua Pergerakan Wanita PBB berkata, beliau turut menerima dorongan daripada pemimpin masyarakat di kawasan Dalat yang berharap beliau terus berkhidmat sebagai wakil rakyat.
Bagaimanapun, katanya, keputusan untuk meletakkan seseorang sebagai calon tetap bergantung kepada pertimbangan parti dan mandat rakyat kerana beliau bertanding atas tiket parti.
Menurutnya, masih terdapat agenda pembangunan di kawasan Dalat yang perlu diteruskan dan diselesaikan sekiranya diberi peluang untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
“Jadi, sekiranya parti memberikan mandat dan rakyat turut memberikan kepercayaan, maka saya akan meneruskan khidmat.
“Saya sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa setiap amanah yang diberikan kepada saya, sejak mula diberikan peluang menjadi calon, akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin”, katanya.
Pada PRN Sarawak ke-12, Fatimah mempertahankan kerusi DUN Dalat dengan majoriti 6,625 undi selepas memperoleh 7,085 undi, menewaskan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Salleh Mahali yang mendapat 460 undi.
Oleh Shikin Mahmud




