Alif Ashraf cipta sejarah sebagai penerima pertama Pingat Emas Alumni UPMS

Facebook
WhatsApp
TAHNIAH diucapkan kepada Muhammad Alif Ashraf Razman, 20, yang mencipta sejarah sebagai penerima pertama Pingat Emas Alumni UPMS yang diperkenalkan buat julung kalinya pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 di Dewan Sri Kenyalang, UPMS, hari ini. Foto UPM

BINTULU, 2 November: Muhammad Alif Ashraf Razman, 20, mencipta sejarah apabila muncul sebagai penerima pertama Pingat Emas Alumni Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), hasil penglibatan aktif dalam kepimpinan mahasiswa, kesukarelawanan dan aktiviti kemasyarakatan.

Pengiktirafan yang diperkenalkan buat julung kalinya di peringkat UPMS itu disampaikan sempena Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-50 di Dewan Sri Kenyalang, UPMS, hari ini.

Graduan Diploma Pengurusan Perladangan Makanan itu menerima pingat emas bernilai RM1,000, wang tunai RM2,000 serta sijil penghargaan, menjadikan keseluruhan nilai pengiktirafan yang diterimanya RM3,000.

Lebih bermakna, beliau turut diberi penghormatan menyampaikan ucapan sebagai wakil graduan pada majlis berkenaan.

Dalam ucapannya, Alif Ashraf berkata beliau tidak pernah menyangka akan kembali berdiri di pentas yang sama selepas pernah melafazkan ikrar sebagai wakil pelajar baharu ketika mula menjejakkan kaki ke universiti itu.

TAHNIAH diucapkan kepada Muhammad Alif Ashraf Razman, 20, yang mencipta sejarah sebagai penerima pertama Pingat Emas Alumni UPMS yang diperkenalkan buat julung kalinya pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 di Dewan Sri Kenyalang, UPMS, hari ini. Foto UPM

“Saya juga tidak pernah membayangkan bahawa suatu hari nanti saya akan kembali berdiri di pentas yang sama, bukan lagi melafazkan ikrar sebagai pelajar baharu, tetapi untuk menyampaikan ucapan sebagai wakil graduan,” katanya.

Menurutnya, pengalaman sepanjang pengajian mengajarnya bahawa setiap usaha yang dilakukan dengan penuh keikhlasan mempunyai nilai tersendiri dalam perjalanan menuju kejayaan.

“Jadilah manusia yang tetap percaya bahawa kehadiran kita di dunia ini tidak akan pernah sia-sia. Selagi kita berbuat sesuatu dengan ikhlas, Tuhan pasti menunjukkan jalan kejayaannya,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, pensyarah, pihak pengurusan kolej serta seluruh warga universiti atas sokongan dan bimbingan yang diberikan sepanjang tempoh pengajiannya.

“Kejayaan ini bukan milik kami semata-mata, tetapi kejayaan ini juga milik kalian,” katanya ketika menyampaikan penghargaan kepada ibu bapa para graduan.

ALIF Ashraf Razman bersama ahli keluarganya ketika menerima Pingat Emas Alumni UPMS pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-50 di Dewan Sri Kenyalang, UPMS, hari ini. Foto UPM

Sepanjang pengajian, Alif Ashraf aktif menyertai pelbagai program berkaitan pembangunan pelajar, kesukarelawanan, jaringan alumni dan kelestarian alam sekitar.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Presiden (Strategik) Majlis Perwakilan Kolej Sri Rajang (KSR), sekali gus memperoleh pengalaman dalam bidang kepimpinan dan pengurusan aktiviti mahasiswa.

Selepas menamatkan pengajian diploma, Alif Ashraf kini menyambung pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian di UPM Serdang.

Beliau turut berhasrat membina kerjaya dalam bidang perniagaan tani, selaras dengan bidang pengajian yang diceburinya.

Oleh Faizah Muzidi