Eksklusif: Dari gelanggang Muay Thai ke CCIBW 2026, Aman Koboi satukan dua minat

Facebook
WhatsApp
AMAN Koboi

PETRA JAYA, 30 Oktober: Dunia sukan tempur dan permotoran mungkin berbeza, namun bagi atlet Muay Thai, Aman Koboi, 28, kedua-duanya mempunyai tempat tersendiri dalam perjalanan hidupnya yang penuh dengan semangat dan cabaran.

Menurut Aman, antara pencapaian yang pernah diraihnya termasuk pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan pingat perak dalam kickboxing, selain pernah menduduki kedudukan pertama dan kedua peringkat kebangsaan dalam sukan Muay Thai.

Kini, pengalaman dan minatnya dalam kedua-dua bidang itu turut membawa beliau memeriahkan penganjuran Cat City International Bike Week (CCIBW) 2026 yang menghimpunkan komuniti permotoran dari dalam dan luar Sarawak.

Mengimbas perjalanan awalnya, Aman berkata, beliau mula menceburi sukan Muay Thai ketika berusia sekitar 13 hingga 14 tahun selepas mengikuti rakan-rakannya yang terlebih dahulu berkecimpung dalam sukan berkenaan.

Bermula sekadar mengikut rakan, minat tersebut akhirnya berkembang sehingga membuka peluang kepadanya menyertai pelbagai pertandingan, termasuk kejohanan sukan tempur byon di Indonesia sebagai antara pencabar dari Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual sempena penganjuran CCIBW 2026 di sini, hari ini.

Di sebalik penglibatannya dalam dunia sukan tempur, Aman turut mempunyai minat mendalam terhadap motosikal sejak zaman persekolahan.

Baginya, aktiviti permotoran bukan sekadar hobi, malah menjadi medium untuk mengenali lebih ramai rakan serta mengeratkan hubungan persahabatan dalam kalangan komuniti penunggang.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan penganjuran CCIBW sebagai platform yang baik untuk menggalakkan golongan muda menyalurkan minat terhadap motosikal melalui aktiviti yang lebih terancang dan selamat.

“Daripada terlibat dalam perlumbaan haram yang boleh mengundang bahaya, lebih baik kita menyertai program seperti ini kerana banyak manfaatnya, selain dapat berjumpa ramai kawan baharu,” katanya.

Aman turut berharap acara permotoran seumpama itu dapat dianjurkan dengan lebih kerap di Sarawak bagi menyediakan ruang kepada peminat motosikal berkumpul, bertukar pengalaman dan membina jaringan persahabatan.

Dalam pada itu, beliau mengambil kesempatan mengajak orang ramai, khususnya penduduk Kuching dan kawasan sekitarnya, untuk memeriahkan CCIBW 2026 yang berlangsung sehingga Ahad ini.

Bagi Aman, penglibatan dalam sukan Muay Thai dan dunia permotoran bukan sahaja memberi pengalaman berbeza, malah membuktikan bahawa minat serta semangat kesukanan mampu menjadi penghubung yang menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

Oleh Norman B