Lori simen terjunam ke dalam gaung di Jalan Pantu, pemandu tersepit tidak sedarkan diri

Facebook
WhatsApp
SEORANG pemandu lori simen ditemukan tersepit dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas kenderaan berat yang dipandunya terbabas sebelum terbalik ke dalam gaung di Jalan Pantu. Foto: PGO Bomba Sarawak

PANTU, 2 November: Seorang pemandu lori simen ditemukan tersepit dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas kenderaan berat yang dipandunya terbabas sebelum terbalik ke dalam gaung di Jalan Pantu, hari ini.

Dalam kejadian yang dilaporkan pada 12.38 tengah hari itu, mangsa ditemukan tersepit di dalam lori yang terbalik di kawasan gaung berkenaan.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman digerakkan ke lokasi.

Bagaimanapun, jentera bomba tidak dapat memasuki kawasan kejadian menyebabkan pasukan penyelamat terpaksa menggunakan kenderaan pacuan empat roda (Hilux) milik pihak ladang untuk meneruskan perjalanan ke lokasi.

Pasukan bomba tiba di lokasi pada 2.37 petang selepas terlebih dahulu tiba di Balai Polis Pantu pada 1.50 petang.

Setibanya di lokasi, pasukan mengesahkan sebuah lori simen terbalik ke dalam gaung dengan seorang mangsa tersepit di dalam kenderaan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Operasi menyelamat turut mendapat bantuan sebuah jengkaut milik pihak ladang bagi membantu kerja-kerja mengeluarkan mangsa dari lori berkenaan.


Seramai tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman terlibat dalam operasi itu dengan menggunakan sebuah Jentera Penyelamat Kebakaran (Fire Rescue Tender, FRT) dan sebuah kenderaan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan dan Penyelamatan (Emergency Medical Rescue Services, EMRS).

Operasi turut dibantu lima anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta dua anggota Kementerian Kesihatan (KKM).

Operasi menyelamat sedang dijalankan ketika laporan awal PGO JBPM Sarawak dikeluarkan. Status terkini mangsa dan punca kejadian belum diperoleh.

Oleh Adi Safarman