ADUN Saribas Razi Sitam raih PhD menerusi kajian 12 pilihan raya Sarawak

Facebook
WhatsApp
DATUK Mohammad Razi Sitam ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen Unimas ke-30 di Detar Putra Unimas, Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN, 2 November: Kajian terhadap 12 pilihan raya Sarawak sepanjang tempoh 1969 hingga 2021 membawa Datuk Mohammad Razi Sitam memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Ke-30 di sini, hari ini.

Razi, yang mewakili kawasan Saribas sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), selain merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, mengambil masa kira-kira empat tahun setengah untuk menyelesaikan penyelidikan tersebut.

Menurut beliau, idea untuk mengkaji corak ruang pilihan raya Sarawak tercetus ketika pandemik COVID-19 sebelum dibincangkan secara santai bersama beberapa profesor Unimas.

“Ketika COVID-19, banyak idea datang apabila saya membaca buku dan meneliti sumber daripada internet.

“Saya kemudian berbincang dengan beberapa profesor Unimas sambil minum kopi dan mereka mencadangkan saya mendaftar sebagai pelajar untuk menjalankan kajian ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan.

Beliau menjelaskan, kajian di bawah Fakulti Sains Sosial itu menggunakan Sistem Maklumat Geografi (GIS) untuk memetakan kawasan DUN serta perubahan sempadannya sepanjang tempoh berkenaan.

“Kajian ini bermula daripada pilihan raya pertama Sarawak selepas pembentukan Malaysia, iaitu pada 1969, sehingga pilihan raya ke-12 pada 2021.

“Kita mengkaji setiap keputusan pilihan raya menggunakan data daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” jelasnya.

DATUK Mohammad Razi Sitam menerima skrol Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Majlis Konvokesyen Unimas ke-30 di Detar Putra Unimas, Kota Samarahan.

Tambah beliau, proses pengumpulan data memerlukannya beberapa kali ke pejabat SPR di Putrajaya kerana data berkenaan tidak dibenarkan dibawa keluar.

“Saya bukan sekadar mengkaji pilihan raya Sarawak, tetapi turut mengkaji kedudukan saya sebagai orang politik,” katanya.

Penyelidikan itu turut meneliti pengaruh kawasan berjiran, parti politik, jantina serta perbezaan antara pengundi bandar dan luar bandar.

“Kita melihat data daripada 12 pilihan raya ini boleh disatukan dalam satu sistem yang lebih sistematik untuk kegunaan ahli politik atau parti politik.

“Bagaimanapun, ini masih pada peringkat cadangan awal dan boleh diteruskan melalui kajian lain atau pembangunan sistem,” ujarnya.

Untuk rekod, Razi memenangi kerusi DUN Saribas selama tiga penggal berturut-turut sejak PRN 2011 dengan mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Beliau mula memenangi kerusi itu atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan memperoleh 3,865 undi, menewaskan Abang Zulkifli Abang Engkeh daripada PKR dengan majoriti 1,728 undi.

Pada PRN 2021, beliau mempertahankan kerusi itu atas tiket Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan memperoleh 5,138 undi dan majoriti 3,236 undi, mengatasi pencabar terdekatnya, Patrick Kamis daripada PKR, dalam pertandingan lima penjuru.

Oleh Masrin Affirah