SIBU, 2 November: Ketelusan, akauntabiliti dan penguatkuasaan undang-undang tanpa pilih kasih perlu menjadi teras tadbir urus sektor perhutanan Sarawak bagi memastikan sumber hutan negeri diuruskan secara berintegriti dan bertanggungjawab.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, amalan tadbir urus yang baik perlu diterapkan pada setiap peringkat pentadbiran, termasuk Jabatan Hutan Sarawak, bagi memastikan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan integriti institusi kerajaan terus terpelihara.
“Tadbir urus yang baik bukan sekadar komitmen di atas kertas, sebaliknya menuntut ketelusan, akauntabiliti dan keberkesanan dalam setiap keputusan yang dibuat,” katanya ketika berucap pada Hari Integriti Jabatan Hutan Sarawak 2026 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Len Talif berkata, terdapat tiga aspek utama yang perlu diberi perhatian bagi memperkukuh tadbir urus sektor perhutanan, iaitu kecekapan dan ketelusan pengurusan, penguatkuasaan undang-undang secara tegas tetapi adil serta penyelarasan pengurusan merentasi agensi.
Menyentuh aspek penguatkuasaan, beliau menegaskan undang-undang berkaitan industri perkayuan mesti dilaksanakan secara adil terhadap semua pihak tanpa mengira kedudukan atau latar belakang, termasuk pembalak haram, pengusaha kecil dan pemegang lesen industri.
“Kita mahu industri perkayuan terus berkembang dan memberikan keuntungan kepada pengusaha, tetapi keuntungan tersebut mesti diperoleh melalui aktiviti yang sah dan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
“Penguatkuasaan tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai usaha menghukum pihak yang melakukan kesalahan, sebaliknya menjadi mekanisme memastikan kelestarian industri serta melindungi kepentingan semua pihak,” tegasnya.
Dalam hal ini, Len Talif berkata, kerajaan juga perlu menyediakan persekitaran kerja, kemudahan dan sistem yang lebih baik bagi membolehkan anggota penguat kuasa melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan.
Beliau berkata, pendekatan tadbir urus yang menyeluruh itu penting bagi memastikan pengurusan sektor perhutanan bukan sahaja mematuhi peraturan, malah terus mendapat kepercayaan rakyat serta pihak berkepentingan.
Oleh Tarani Lanting





