PETRA JAYA, 2 November: Festival Peribumi Borneo (FPB) 2026 bakal menghimpunkan 12 persatuan etnik menerusi pelbagai pengisian seni dan kebudayaan bagi mengangkat keunikan warisan masyarakat Borneo, khususnya Sarawak.
Festival selama empat hari bermula 12 hingga 15 November itu akan berlangsung di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC), Kuching, dengan mengetengahkan kepelbagaian seni persembahan, adat resam, kraftangan dan warisan budaya masyarakat pelbagai etnik.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran festival itu bukan sekadar acara hiburan atau perayaan kebudayaan, sebaliknya menjadi platform strategik untuk memperkukuh industri kreatif serta mempromosikan warisan budaya sebagai produk pelancongan negeri.
Menurutnya, festival itu turut membuka ruang kepada persatuan etnik, penggiat seni, pengamal budaya dan komuniti kreatif untuk berkongsi pengetahuan serta memperluas jaringan kerjasama.
“Warisan budaya bukan sahaja perlu dipelihara, tetapi juga diperkasakan supaya mempunyai nilai ekonomi dan mampu menjadi sumber pendapatan kepada penggiat seni serta usahawan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Festival Peribumi Borneo 2026 di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Sebanyak tujuh pengisian utama disediakan sepanjang festival berkenaan, merangkumi Sidang Keilmuan, Gema Borneo, Festival Tarian dan Lagu Melayu Asli Kali Ke-36 (FTLA), Ruai Sarawak, Persembahan Ringkas, Pasar Seni dan Ngelakar Seni Premium.
Antara tarikan utama ialah Gema Borneo yang dijadualkan berlangsung pada 13 November, menampilkan persembahan kesenian Sarawak serta penyertaan kumpulan budaya dari Indonesia, Sabah dan Labuan.
Penyertaan luar Sarawak itu melibatkan Sanggar Andari dari Indonesia, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) dari Sabah serta Kumpulan Tari Perbadanan Labuan.
Sementara itu, Ruai Sarawak yang berlangsung pada 13 hingga 15 November akan mengetengahkan 12 persatuan etnik menerusi pameran kebudayaan, pakaian tradisional, kraftangan, makanan dan identiti warisan masing-masing.
Bagi tahun ini, pengisian Ruai Sarawak turut memberikan tumpuan kepada kebudayaan masyarakat Iban dengan mengetengahkan busana tradisional mengikut lima kawasan iaitu Batang Ai, Batang Rajang, Iban Kepuas, Iban Seribas dan Iban Sebuyau.
Festival berkenaan turut menampilkan FTLA Kali Ke-36 pada 14 dan 15 November dengan pertandingan kategori tarian serta nyanyian lagu Melayu asli.
Bagi kategori tarian, johan bakal membawa pulang RM10,000, manakala pemenang kategori nyanyian menerima hadiah utama RM3,500.
Selain itu, Pasar Seni menyediakan ruang kepada pengusaha kraftangan, usahawan seni dan komuniti kreatif untuk memasarkan produk masing-masing, manakala Sidang Keilmuan menawarkan bengkel berkaitan tari, teater, muzik dan seni visual.
Abdul Karim berkata, penganjuran festival itu mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan seni dan budaya bukan sahaja terus diwarisi, malah berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta sektor pelancongan negeri.
Beliau turut menggalakkan masyarakat Sarawak, khususnya warga Kuching dan kawasan sekitarnya, untuk hadir memeriahkan festival berkenaan.
Oleh Shahrul Qaizat





