PETRA JAYA, 2 November: Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak seharusnya lagi mengharapkan kerjasama pilihan raya dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang kerana gabungan itu akan bergerak secara bersendirian dan bertanding di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, GPS akan menganggap semua parti di luar gabungan itu sebagai lawan, termasuk PKR, DAP, PAS, Bersatu dan Amanah.
Beliau berkata, kedudukan PKR dan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan tidak mempunyai kaitan dengan pendirian politik GPS di peringkat negeri.
“Di peringkat Persekutuan, itu urusan mereka. Kita di negeri, dalam Dewan Undangan Negeri, hanya ada GPS bersama pembangkang.
“Jadi, kalau PKR mengatakan mereka mahu menjalinkan kerjasama, sudah agak terlambat untuk bercakap mengenai kolaborasi seperti ini. Kita tetap akan menganggap mereka sebagai pembangkang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Festival Peribumi Borneo di Bangunan Baitulmakmur II, di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, GPS mempunyai kekuatan tersendiri sebagai gabungan empat parti yang meletakkan kepentingan Sarawak sebagai keutamaan dalam setiap keputusan dan hala tuju pentadbiran negeri.
Menurutnya, GPS tidak memerlukan kerjasama dengan parti luar kerana gabungan itu mampu membuat keputusan sendiri di Sarawak tanpa perlu merujuk kepada ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.
Beliau turut mempersoalkan keperluan Sarawak untuk bekerjasama dengan parti nasional seperti PKR dan DAP, memandangkan keputusan penting berkaitan negeri itu berkemungkinan perlu dirujuk kepada kepimpinan tertinggi parti di Kuala Lumpur.
“Kita tidak mahu keadaan apabila kita mahu menang, kemudian apa-apa keputusan penting yang melibatkan Sarawak perlu dirujuk ke Kuala Lumpur.
“Kita juga tidak mahu DAP. Ibu pejabat DAP berada di Kuala Lumpur dan apa-apa isu penting di Sarawak perlu dirujuk ke sana untuk mendapatkan kelulusan.
“Mengapa kita perlu mengikut telunjuk seperti itu sedangkan kita mempunyai GPS yang boleh membuat keputusan sendiri di sini demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat Sarawak?” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa PKR, DAP mahupun parti pembangkang lain tidak seharusnya meletakkan harapan untuk menjalinkan kerjasama dengan GPS pada PRN akan datang.
Sebaliknya, beliau berkata, semua parti bebas bertanding dan menyerahkan keputusan kepada rakyat Sarawak untuk menentukan parti yang layak mendapat mandat.
“Jangan fikirkan soal kerjasama. Pilihan raya sudah semakin hampir. Kalau mahu, bertandinglah dalam pilihan raya dan biar rakyat Sarawak yang menentukannya,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat





