PETRA JAYA, 2 November: Sebanyak 535 kes keganasan rumah tangga direkodkan di Sarawak sepanjang 2025, sekali gus menunjukkan keperluan memperkukuh usaha pencegahan jenayah dan perlindungan terhadap wanita serta kanak-kanak.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut merekodkan 151 kes rogol, 100 kes di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) dan 51 kes penderaan kanak-kanak dalam tempoh sama.

Menurutnya, sebanyak empat kes pembuangan bayi, 31 kes sumbang mahram dan 29 kes cabul turut direkodkan di negeri ini pada 2025.
Beliau berkata, angka berkenaan memerlukan perhatian serius kerana setiap kes bukan sekadar angka statistik, sebaliknya membabitkan individu dan keluarga yang berdepan kesan fizikal, emosi, psikologi serta sosial.
“Lebih penting, di sebalik setiap statistik tersebut terdapat individu dan keluarga yang mungkin terkesan dari segi fizikal, emosi, psikologi dan sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), SAC Kumarasan Muniandy, di Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), di sini, hari ini.
Fatimah berkata, usaha menangani isu sosial yang berkait rapat dengan keselamatan dan jenayah memerlukan pendekatan menyeluruh, termasuk penguatkuasaan undang-undang, pencegahan, pendidikan masyarakat, pengesanan awal serta perlindungan mangsa.
Justeru, beliau berharap kerjasama antara KPWK dengan PDRM dapat terus diperkukuh bagi memastikan isu sosial yang berpotensi membawa kepada jenayah dikenal pasti dan ditangani lebih awal.
Menurutnya, penyelarasan antara agensi juga penting dalam memastikan mangsa keganasan, penderaan, eksploitasi dan jenayah seksual mendapat perlindungan serta sokongan sewajarnya.
Beliau turut menekankan kepentingan perkongsian maklumat yang dibenarkan, penyelarasan tindakan dan rujukan kes antara agensi, selain pelaksanaan program kesedaran serta pencegahan secara bersama.
Dalam pada itu, Fatimah berkata, usaha mencegah jenayah perlu bermula daripada institusi keluarga dan komuniti melalui penglibatan pemimpin masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi berkaitan.
Beliau turut menyarankan kerjasama diteroka menerusi program kesedaran awam, perkongsian maklumat mengenai trend jenayah dan pelaksanaan intervensi bersasar kepada kumpulan berisiko.
Beliau turut menyentuh kepentingan perkhidmatan Pusat Sehenti Krisis (OSCC) di hospital kerajaan sebagai antara mekanisme membantu pengendalian kes keganasan dan penderaan menerusi kerjasama pihak kesihatan, PDRM, Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) serta agensi berkaitan.
Fatimah berharap hubungan kerja antara KPWK dengan PDRM terus diperkukuh melalui komunikasi berkesan, perkongsian kepakaran dan penyelarasan tindakan mengikut bidang kuasa masing-masing demi keselamatan serta kepentingan terbaik mangsa.
Oleh Shikin Mahmud





