Sarawak Energy lancar bot elektrik bersepadu solar Seri Batang Ai

Facebook
WhatsApp
ABANG Johari diiringi Dr Sim Kui Hian, Datuk Ruslan, Datuk Len Talif, Datuk Hazland selepas menyempurnakan perasmian simbolik Seri Batang Ai.

PETRA JAYA, 1 November: Sarawak Energy memperkenalkan bot elektrik bersepadu solar pertamanya, Seri Batang Ai, yang dibangunkan khusus untuk menyokong operasi di Empangan Hidroelektrik Batang Ai.

Bot berkenaan dinamakan secara rasmi oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam satu majlis di Pangkalan Sapi, di sini, hari ini, bersempena Regata Sarawak 2026.

Abang Johari tiba di Pangkalan Sapi sekitar 2.30 petang bagi menyempurnakan majlis penamaan bot elektrik berkenaan sebelum menaikinya untuk sesi bergambar.

Beliau kemudian meneruskan perjalanan menaiki bot itu ke astaka utama Regata Sarawak di seberang sungai kira-kira 2.40 petang, bersama Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh serta Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Hazland Abang Hipni.

ABANG Johari bersama tetamu kehormat ketika berada di dalam bot elektrik solar Seri Batang Ai semasa perjalanan menyusuri Sungai Sarawak.

Bot tersebut dibina oleh syarikat tempatan, Global Fibreglass Industries, bot sepanjang 10 meter itu dilengkapi sistem pendorongan elektrik yang direka oleh pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) Sarawak Energy.

Ia akan digunakan bagi pelbagai keperluan operasi, antaranya pemeriksaan keselamatan empangan, pemantauan alam sekitar dan pengangkutan kakitangan merentasi kawasan takungan Batang Ai.

Seri Batang Ai menggunakan dua motor sangkut elektrik berkapasiti 40 kilowatt setiap satu, dengan kuasa keseluruhan 80 kilowatt, serta sistem bateri berkapasiti 92 kilowatt jam.

Turut dipasang panel solar pada bumbung bot berkapasiti 3.6 kilowatt puncak bagi membantu mengecas bateri, selain kemudahan pengecasan menggunakan bekalan elektrik daripada grid.

Dengan kapasiti sehingga 12 penumpang, bot itu mampu bergerak sejauh 40 hingga 50 kilometer bagi setiap operasi, dengan tempoh penggunaan sekitar tiga hingga empat jam serta kelajuan maksimum 25 kilometer sejam.

 BOT elektrik solar Seri Batang Ai membawa tetamu kehormat menyusuri Sungai Sarawak sempena Regata Sarawak 2026.

Penggunaan tenaga elektrik membolehkan bot itu beroperasi tanpa menghasilkan pelepasan gas ekzos secara langsung, selain mengurangkan bunyi dan getaran berbanding bot yang menggunakan bahan api fosil.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Dato Ruslan Abdul Ghani berkata, pembangunan Seri Batang Ai merupakan kesinambungan usaha syarikat meneroka penggunaan teknologi elektrik dalam pengangkutan air menerusi inisiatif e-Penambang sebelum ini.

Menurutnya, projek itu juga membuka ruang kepada Sarawak Energy untuk memperkukuh keupayaan penyelidikan dan pembangunan serta meningkatkan kepakaran kejuruteraan tempatan.

Beliau berkata, teknologi berkenaan berpotensi diteroka untuk kegunaan lebih meluas, khususnya dalam meningkatkan kecekapan operasi dan membangunkan penyelesaian mobiliti yang lebih mampan.

ABANG Johari (kiri) dan Datuk Ruslan (kanan) ketika penyerahan replika bot Seri Batang Ai.

Seri Batang Ai sebelum ini pernah diperkenalkan semasa sambutan ulang tahun ke-40 Empangan Hidroelektrik Batang Ai pada 2025, yang turut memberi peluang kepada Premier Sarawak meninjau bot berkenaan.

Sarawak Energy menerima Lesen Bot dan Permit Pengangkutan Sungai bagi bot itu pada 21 Oktober lalu, sebelum penamaan rasminya diadakan hari ini.

Selain digunakan bagi urusan operasi empangan, bot itu turut menyokong pengangkutan kakitangan dan pengunjung untuk lawatan teknikal ke ladang solar terapung Batang Ai yang terletak berhampiran.

Pembangunan Seri Batang Ai juga mencerminkan usaha Sarawak Energy memperluas aplikasi tenaga boleh baharu dalam operasi syarikat, selain memanfaatkan kepakaran penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan penyelesaian pengangkutan yang lebih cekap serta mesra alam.

Oleh Shikin Mahmud