LINGGA, 1 November: Sarawak melangkah lebih jauh ke arah mengurangkan kebergantungan kepada beras import apabila Projek Tanaman Padi Felcra di Stumbin dijangka memulakan penanaman pertama benih padi sah pada Disember ini.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, beliau berpuas hati dengan kemajuan projek berkenaan yang dilihat berpotensi menyumbang kepada usaha meningkatkan pengeluaran beras negeri.
“Kita tidak boleh selama-lamanya bergantung kepada bekalan beras dari luar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena lawatan kerja ke Projek Tanaman Padi Felcra Stumbin, di sini, semalam.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Dato’ Mohamed Ismi Abdul Majid.
Rundi berkata, kejayaan projek itu bukan semata-mata diukur berdasarkan keluasan tanah yang dimajukan, tetapi turut mengambil kira peningkatan pendapatan dan taraf hidup rakyat.
Projek seluas 309 ekar itu dibangunkan oleh FELCRA Berhad di atas tanah yang disediakan Kerajaan Sarawak, dengan sokongan peruntukan RM50 juta daripada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Infrastruktur Fasa 1 seluas 102 ekar telah siap, manakala Fasa 2 seluas 80 ekar sedang dibangunkan.
Fasa 3 meliputi kawasan seluas 128 ekar dan dirancang untuk dilaksanakan pada 2027 bagi melengkapkan keseluruhan kawasan projek.
Benih padi sah varieti MR297 akan dibawa dari Pusat Benih Padi FELCRA Seberang Perak untuk penanaman di Fasa 1.
Rundi berkata projek itu selari dengan sasaran Kerajaan Sarawak meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras kepada 60 peratus menjelang 2030, sebagaimana hasrat Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Pada 2025, Sarawak mengusahakan kira-kira 91,400 ekar sawah padi melibatkan 40,000 pesawah, dengan pengeluaran sebanyak 78,000 tan metrik padi, bersamaan 47,000 tan metrik beras.
Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) pula telah mengenal pasti 48 kawasan berpotensi meliputi 34,600 ekar untuk penanaman padi berskala besar.
Selain Stumbin, sebanyak 356 ekar tanah kerajaan turut diperuntukkan bagi pengeluaran benih padi, dengan dua syarikat sedang membangunkan ladang benih dan kemudahan pemprosesan.
Dalam lawatan itu, Felcra turut mengemukakan tiga permohonan utama, iaitu tambahan tanah bersebelahan, pembinaan kilang pemprosesan benih dan kemudahan penyimpanan sejuk, serta sokongan pemasaran dan pengedaran.
Rundi memberi komitmen bahawa M-FICORD akan menyelaras perbincangan dan meneliti keperluan berkenaan bersama agensi berkaitan, dengan kelulusan tertakluk kepada pihak berkuasa yang berkenaan.
Mengenai kebajikan pesawah, beliau mengarahkan penyelarasan bersama jabatan dan agensi diteruskan berhubung kelayakan subsidi, insentif padi dan kadar caj kemasukan tanah, dengan keutamaan diberikan kepada pesawah tempatan berpendapatan rendah.
Beliau turut berhasrat menjemput Premier Sarawak melawat projek itu ketika tempoh penanaman nanti, sekiranya tapak telah bersedia.
“Harapan saya, Stumbin akan berkembang daripada sebuah projek pembangunan tanah kepada pusat pengeluaran benih padi sah yang berdaya maju,” katanya.
Oleh Adi Safarman





