RM556,500 disalur kepada 80 penerima di Parlimen Sri Aman

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Doris Sophia Brodie pada majlis penyerahan cek peruntukan Geran Pemberian Langsung Fasa Empat di salah sebuah hotel terkemuka di Bandar Simanggang. Foto Pusat Khidmat P202 Parlimen Sri Aman

SIMANGGANG, 1 November: Sebanyak RM556,500 disalurkan kepada 80 penerima menerusi Geran Pemberian Langsung Fasa Empat dan Peruntukan Khas (ABK) bagi menyokong pelaksanaan aktiviti serta program komuniti di kawasan Parlimen Sri Aman.

Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie berkata, jumlah tersebut merangkumi RM301,000 menerusi Geran Pemberian Langsung Fasa Empat dan RM255,500 melalui Peruntukan Khas (ABK).

Beliau berkata, peruntukan berkenaan diberikan kepada 60 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta 20 penerima lain yang terdiri daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), persatuan, kelab dan rumah ibadah.

Menurutnya, bantuan itu bertujuan memperkasa peranan organisasi setempat dalam melaksanakan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk.

Ketika berucap pada majlis penyerahan cek Geran Pemberian Langsung Fasa Empat di sini semalam, beliau mengingatkan semua penerima supaya menguruskan peruntukan yang diterima dengan penuh tanggungjawab dan berintegriti.

“Dana berkenaan perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi memastikan setiap program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan berkesan serta memberi impak positif kepada masyarakat.

“Saya berharap semua penerima terus memperkukuh semangat kerjasama, perpaduan dan kebersamaan dalam menjayakan pelbagai inisiatif pembangunan komuniti,” katanya.

Jelasnya, komitmen semua pihak amat penting bagi memastikan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara, sekali gus membina komuniti yang lebih maju dan harmoni di seluruh kawasan Parlimen Sri Aman.

Oleh Adi Safarman