LINGGA, 1 November: Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM50 juta bagi menyokong projek estet padi Felcra di Stumbin, sebagai pelaburan strategik untuk membina asas industri padi yang lebih tersusun dan mampan di Sarawak.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata projek itu bukan sekadar perancangan pembangunan pertanian, malah manifestasi komitmen Kerajaan Persekutuan memperkukuh keterjaminan makanan negara, meningkatkan keupayaan pengeluaran tempatan dan memperluas peluang ekonomi masyarakat luar bandar.
Menurutnya, hasrat membangunkan estet padi di Sarawak dan Sabah melalui Felcra Berhad diumumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah pada 8 Mac 2023, berasaskan pengalaman pembangunan Felcra di Seberang Perak.
“Saya mahu melihat sendiri projek ini berkembang daripada sebuah kawasan pembangunan pertanian kepada pusat pengeluaran benih padi sah yang produktif, berdaya maju dan mampu memberikan manfaat berpanjangan kepada rakyat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap sempena lawatan kerja ke Projek Tanaman Padi FELCRA Stumbin, dekat sini semalam.

Turut hadir, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Dato’ Mohamed Ismi Abdul Majid.
Rubiah berkata, kejayaan Stumbin turut menjadi bukti bahawa kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mampu menghasilkan pembangunan yang memberi manfaat nyata kepada rakyat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang menyediakan tanah seluas 125 hektar di Stumbin melalui Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD), serta kerjasama jabatan dan agensi negeri dalam urusan tanah dan penyelarasan teknikal.
“Kerajaan Persekutuan menyediakan sokongan dasar dan pembiayaan, kerajaan negeri membantu menyediakan tapak serta menyelaras keperluan negeri, manakala Felcra membawa kepakaran dan pengalaman dalam pembangunan pertanian secara komersial,” katanya.
Projek Stumbin dilaksanakan melalui tiga fasa seluas 125 hektar. Felcra merancang menggunakan benih padi sah varieti MR297 dari Pusat Benih Padi Felcra Seberang Perak, yang dijangka ditanam pada Disember 2026, tertakluk kepada kesiapsiagaan tapak dan keperluan operasi.

Dalam pada itu, Rubiah berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada prinsipnya bersedia meneliti dan mengemukakan permohonan peruntukan tambahan kepada Kerajaan Persekutuan bagi memperluas kawasan padi Felcra di Stumbin, kerana Felcra memerlukan kawasan penanaman lebih luas dan berdekatan untuk mencapai skala ekonomi optimum.
Bagaimanapun, katanya, usaha itu perlu diselaraskan terlebih dahulu dengan kerajaan Sarawak, khususnya berkaitan kesediaan tanah kerajaan, status tanah, penilaian teknikal dan kelulusan pihak berkuasa negeri.
“KKDW tidak melihat pembangunan Stumbin sebagai projek yang terhenti pada keluasan 125 hektar semata-mata, sebaliknya sebagai asas kepada pengembangan industri benih padi yang lebih besar dan berdaya saing di Sarawak,” ujarnya.
Selain peruntukan infrastruktur, KKDW juga bersedia meneliti sokongan melalui pelbagai program kementerian, termasuk pembangunan kemudahan sokongan luar bandar, peningkatan kapasiti komuniti, keusahawanan dan penyertaan masyarakat dalam rantaian nilai industri padi, tanpa pertindihan program.
Rubiah berkata, kerajaan mahu melihat tiga hasil utama daripada projek itu, iaitu pengeluaran benih padi sah yang berkualiti dan berterusan, pembangunan rantaian industri padi yang lebih lengkap merangkumi pengeluaran hingga pengedaran, serta peningkatan kesejahteraan rakyat melalui peluang pekerjaan dan penyertaan masyarakat luar bandar dalam pertanian moden.
“Kita mahu setiap ringgit peruntukan kerajaan menghasilkan pulangan pembangunan yang berkesan kepada negara dan rakyat,” katanya.
Oleh Adi Safarman





