Didik kanak-kanak jadi pembela rakan, bukan pemerhati buli

Facebook
WhatsApp
JOHNNY Pang menyampaikan hadiah kepada pemenang cabutan hadiah utama sempena Program Fun Run “Hentikan Buli” dan Pertandingan Mewarna Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Bahagian Bintulu 2026 di Bintulu hari ini.

BINTULU, 31 Oktober: Keberanian mempertahankan rakan yang menjadi mangsa buli perlu dipupuk sejak kecil bagi membentuk persekitaran sosial yang lebih selamat dan saling menghormati.

Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming berkata kanak-kanak perlu memahami bahawa sikap membiarkan perbuatan buli berlaku tanpa mengambil tindakan turut memberi ruang kepada budaya negatif itu berterusan.

Menurutnya, mereka perlu dididik supaya tidak menyertai perbuatan mengejek atau memulaukan rakan, sebaliknya mengambil inisiatif mendekati mangsa dan mendapatkan bantuan orang dewasa.

Beliau berkata, keberanian bukan diukur melalui kemampuan seseorang menguasai atau menakutkan orang lain, tetapi melalui kesanggupan menghormati serta membantu mereka yang memerlukan sokongan.

“Orang yang benar-benar berani bukan orang yang membuli orang lain.

“Orang yang berani ialah orang yang tahu menghormati orang lain, melindungi diri sendiri dan sanggup membantu kawan yang memerlukan,” katanya ketika berucap pada Program Fun Run ‘Hentikan Buli’ dan Pertandingan Mewarna sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Bahagian Bintulu 2026 di Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) di sini, hari ini.

Program anjuran UPMS dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKMS) itu turut menggabungkan aktiviti larian santai dan pertandingan mewarna sebagai pengisian sambutan Hari Kanak-Kanak.

Dalam pada itu, Johnny Pang turut mengingatkan kanak-kanak yang berdepan perbuatan buli supaya tidak menyimpan masalah itu sendirian, sebaliknya berkongsi dengan guru, ibu bapa atau orang dewasa yang dipercayai.

Ujarnya, setiap kanak-kanak mempunyai kelebihan tersendiri, sama ada dalam bidang akademik, sukan, seni mahupun kemahiran lain, dan perbezaan itu sepatutnya menjadi asas untuk saling menghargai.

Oleh Carolyne Utih