KUCHING, 30 Oktober: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan sumbangan tambahan RM50,000 kepada Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Sarawak (Peryatim) bagi menyokong usaha persatuan itu menjaga kebajikan serta menyediakan peluang pendidikan kepada golongan berkenaan.
Sumbangan itu diumumkan dalam ucapan beliau semasa majlis makan malam amal ‘Unplugged with Amir Masdi bersama Premier’ anjuran AD Interact International Sdn Bhd, di Hotel Sheraton, malam ini.

Abang Johari berkata, usaha membantu anak yatim bukan hanya terletak pada tanggungjawab kerajaan, sebaliknya memerlukan kerjasama masyarakat, badan kebajikan serta sektor korporat bagi memastikan golongan itu mendapat sokongan yang diperlukan untuk membina kehidupan lebih baik.
Beliau turut menekankan kepentingan pendidikan dalam membentuk masa depan anak yatim, khususnya bagi membolehkan mereka menjadi tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan Sarawak.
Menurutnya, kejayaan bekas penghuni institusi kebajikan yang berjaya melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD), selain memegang jawatan penting dalam sektor korporat dan kejuruteraan, membuktikan bahawa anak yatim mempunyai potensi untuk mencapai kejayaan sekiranya diberikan peluang dan sokongan sewajarnya.

Katanya, anak yatim tidak seharusnya dilihat sebagai golongan yang hanya memerlukan bantuan, sebaliknya perlu diberikan ruang dan peluang untuk mengembangkan kebolehan serta membina kerjaya dalam pelbagai bidang, termasuk industri berteknologi tinggi.
Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak turut memberi perhatian kepada aspek kebajikan dan keterangkuman sosial menerusi pelbagai inisiatif, selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM46 juta bagi 2027 menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membantu persatuan kanak-kanak, menyediakan bantuan am serta menyokong golongan orang kurang upaya (OKU) yang tidak berupaya bekerja.
Selain itu, kerajaan turut menyediakan sokongan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, termasuk menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) serta bantuan wang saku bagi menampung perbelanjaan harian.
Beliau berkata, peluang pendidikan dan sokongan kewangan itu penting bagi memastikan anak yatim turut mendapat akses kepada pendidikan serta kemahiran yang diperlukan untuk bersaing dalam pasaran pekerjaan.
Dalam ucapannya, Abang Johari turut menghargai peranan Peryatim yang sekian lama membantu menjaga kebajikan anak yatim di Sarawak, termasuk menerusi penubuhan rumah kebajikan di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu.
Beliau berkata, hasil usaha persatuan itu dapat dilihat menerusi kejayaan ramai penghuni yang berjaya menamatkan pengajian di universiti dan membina kerjaya masing-masing.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang, penaja dan pihak yang bekerjasama menjayakan usaha kebajikan berkenaan.
Majlis makan malam amal itu turut menampilkan persembahan penyanyi Amir Masdi sebagai sebahagian daripada usaha mengumpul sokongan bagi membantu Peryatim.
Oleh Afiq Sallehi




