KUCHING, 30 Oktober: Polis menahan dua individu selepas mereka didapati positif dadah dalam serbuan dan pemeriksaan di lima premis hiburan sekitar bandar raya ini.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, serbuan itu dijalankan oleh sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching.
Beliau berkata, kedua-dua individu ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk siasatan lanjut.
“Kejayaan operasi ini adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan.
Alexson menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan berkaitan dadah.
Beliau berkata, perbuatan memiliki, mengedar atau melindungi kegiatan pengedaran dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang.
Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik kekal komited dalam usaha membanteras kegiatan dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang.
“Dadah ialah musuh nombor satu negara,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh menghubungi talian hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di 012-208 7222 atau talian hotline Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di 017-592 9211.




