Lelaki ditahan selepas ugut bakar rumah, kereta dan motosikal kekasih di Roban

Facebook
WhatsApp
LELAKI ditahan selepas ugut bakar rumah, kereta dan motosikal kekasih di Roban. Foto: IPD Saratok

SARATOK, 30 Oktober: Seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun ditahan polis selepas dipercayai mengugut untuk membakar rumah, kereta dan motosikal milik kekasihnya dalam satu pertengkaran yang berlaku di Kampung Melayu, Roban.

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata suspek ditahan pada kira-kira 10.15 pagi hari ini dalam operasi yang diketuai oleh Inspektor Hendry Muji bersama sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok.

Menurut beliau, kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara suspek dan pengadu, seorang wanita tempatan berusia 55 tahun yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

“Siasatan awal mendapati pengadu dan suspek merupakan pasangan kekasih sejak Januari 2026. 

“Pertengkaran tercetus apabila pengadu tidak berpuas hati kerana suspek didakwa gagal menunaikan janji untuk mengahwininya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pengadu turut menuntut kembali wang RM1,500 yang sebelum ini digunakan oleh suspek sebagai deposit pembelian sebuah motosikal pada Mei lalu.

“Ketika pertengkaran tersebut, suspek dipercayai mengeluarkan ugutan untuk membakar motosikal, kereta serta rumah milik pengadu. 

“Akibat berasa takut terhadap keselamatannya, pengadu tampil membuat laporan di Balai Polis Roban untuk tindakan lanjut,” katanya.

Susulan laporan yang diterima pada 11.07 pagi hari ini, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek di Kampung Melayu, Roban.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

DSP Mathew berkata, motif kejadian dipercayai berpunca daripada kemarahan suspek semasa pertengkaran mulut dengan pengadu berhubung isu perkahwinan dan tuntutan wang.

“Polis memandang serius sebarang bentuk ugutan yang boleh mengancam keselamatan orang awam dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kesalahan sedemikian,” ujarnya.

Kes dilaporkan selesai selepas tangkapan dibuat dan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak polis.

Oleh Adi Safarman