Dua individu didenda RM10,000 dalam kes penipuan

Facebook
WhatsApp

BAU, 30 Oktober: Dua individu masing-masing didenda RM10,000 oleh mahkamah selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 424C Kanun Keseksaan dalam dua kes berasingan yang dibicarakan semalam.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, kedua-dua tertuduh pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan sebelum didakwa mengikut Seksyen 424C.

Dalam kes pertama, seorang wanita berusia 42 tahun didenda RM10,000 atau penjara tiga bulan jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan mengikut Seksyen 424C Kanun Keseksaan.

Dalam kes kedua, seorang lelaki berusia 51 tahun turut mengaku bersalah atas satu pertuduhan mengikut Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan dan didenda RM10,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda.

“Kedua-dua tertuduh gagal membayar denda masing-masing dan dihantar ke Penjara Puncak Borneo untuk menjalani hukuman penjara berkenaan,” katanya.

Kedua-dua kes didaftarkan di bawah kertas siasatan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah IPD Bau, masing-masing bernombor Bau/JSJK/KS/11/26 dan Bau/JSJK/KS/32/26.

Oleh Connie Chieng