Garam Sarawak berpotensi jadi sumber ekonomi baharu menerusi teknologi bateri sodium

Facebook
WhatsApp
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Khas PREMIER Sarawak dan Anugerah Pendidikan Sarawak 2026 di Pusat Acara Hikmah Exchange, Petra Jaya, hari ini.

KUCHING, 30 Oktober: Garam yang selama ini dilihat sebagai bahan keperluan harian berpotensi menjadi antara sumber penting dalam pembangunan ekonomi baharu Sarawak, khususnya menerusi perkembangan teknologi bateri berasaskan sodium.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkembangan teknologi semasa membuka peluang kepada sumber semula jadi negeri itu untuk dimanfaatkan dalam industri bernilai tinggi, termasuk sektor penyimpanan tenaga.

Beliau berkata, teknologi bateri yang sebelum ini banyak bergantung kepada litium kini menyaksikan perkembangan penggunaan sodium sebagai bahan alternatif, sekali gus meningkatkan potensi garam sebagai sumber ekonomi masa depan.

“Bayangkan harga garam. Bukan untuk berulam sahaja, menambah rasa dalam sup, tetapi ia menjadi asas kepada ekonomi baharu.

“Kita di Sarawak penghasil garam,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Khas Premier Sarawak dan Anugerah Pendidikan Sarawak 2026 di Pusat Acara Hikmah Exchange, Petra Jaya, hari ini.

Menurut beliau, perkara itu menunjukkan kepentingan penyelidikan dan penguasaan ilmu sains dalam mengenal pasti serta meneroka potensi sumber negeri yang mungkin belum dimanfaatkan sepenuhnya.

Katanya, Sarawak juga mempunyai pelbagai khazanah semula jadi yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan industri masa depan, namun usaha mengenal pasti dan mengembangkannya memerlukan kepakaran serta teknologi bersesuaian.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kepentingan menyediakan generasi muda dengan pengetahuan dalam bidang sains, teknologi dan penyelidikan supaya mereka mampu menambah nilai kepada sumber yang dimiliki negeri.

Beliau berkata, perancangan Sarawak untuk membangunkan satelit sendiri menjelang 2030 turut menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh keupayaan mendapatkan maklumat berkaitan sumber bumi, termasuk menerusi penggunaan satelit orbit rendah bumi.

Oleh Shahrul Qaizat