‘Belum terima petunjuk digugurkan’ – Abdul Karim

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah (tengah) selepas sidang media Sarawak Esports Expo 2026 (SAREX26) di Bangunan Baitulmakmur II hari ini. Foto Adele Rissa

PETRA JAYA, 30 Oktober: Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau setakat ini belum menerima sebarang petunjuk daripada kepimpinan parti bahawa dirinya tidak akan dicalonkan semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13.

Beliau berkata, walaupun sebelum ini pernah menyatakan kesediaan untuk berundur selepas 25 tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat, keputusan berhubung pencalonannya bergantung kepada kepercayaan parti dan rakyat terhadap khidmatnya.

“Setakat ini, tidak ada maklum balas yang memberitahu saya akan dicalonkan semula ataupun digugurkan. Tidak ada.

“Saya dapat merasakan bahawa saya mungkin masih diperlukan kerana sekiranya tidak, sudah tentu ada petunjuk bahawa saya tidak lagi dibawa bersama atau diberikan tanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sidang media Ekspo e-Sukan Sarawak 2026 (SAREX26) di Bangunan Baitulmakmur II di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau masih diberikan tanggungjawab walaupun kini berada dalam kerajaan sementara, sekali gus melihat perkara itu sebagai petunjuk bahawa khidmatnya mungkin masih diperlukan.

Abdul Karim berkongsi, selepas sekian lama berkhidmat sebagai wakil rakyat, bukan mudah untuk meninggalkan tanggungjawab yang telah dilaksanakan selama ini.

“Apabila kita sudah begitu lama berkhidmat, agak sukar untuk meninggalkan apa yang telah kita lakukan selama 20 tahun.

“Saya menikmati pekerjaan ini, tetapi saya juga perlu menerima hakikat bahawa ia merupakan satu kitaran,” ujarnya.

Beliau berkata, tempoh perkhidmatan yang terlalu lama juga boleh melambatkan proses membimbing pemimpin baharu untuk menjadi wakil rakyat yang mampu menjaga kepentingan kawasan masing-masing.

Bagaimanapun, jelasnya, sekiranya parti dan rakyat masih mahukan khidmatnya, beliau tidak boleh menolak tanggungjawab berkenaan.

Mengulas mengenai mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang dijadual berlangsung pada 6 November ini, beliau berkata, mesyuarat berkenaan merupakan sebahagian daripada proses yang perlu dilaksanakan selepas pembubaran DUN Sarawak.

Katanya, SPR dijangka mengumumkan tarikh penting pilihan raya termasuk hari pengundian dan pengundian awal, selain memperincikan daftar pemilih yang akan digunakan.

“Apabila SPR menerima notis pembubaran DUN, mereka perlu mengadakan mesyuarat bagi menentukan tarikh-tarikh penting pilihan raya.

“Selain itu, saya percaya mereka juga akan memaklumkan daftar pemilih yang telah diwartakan untuk digunakan pada pilihan raya akan datang,” jelasnya.

Beliau turut menyeru semua rakyat Sarawak yang layak mengundi, khususnya pengundi muda berusia 18 tahun yang bakal mengundi buat kali pertama, supaya menunaikan tanggungjawab mereka sebagai warganegara.

“Gunakanlah kebijaksanaan kita sendiri untuk menentukan siapa yang akan kita pilih untuk mewakili kawasan masing-masing dan seterusnya siapa yang kita jangka akan menjadi kerajaan baharu selepas hari mengundi,” ujarnya.

Oleh Adele Rissa