Wanita Rumah Jambai serlah kreativiti menerusi bakul Krokedai

Facebook
WhatsApp
ADA MINAT... Datuk Rosey Yunus yang berminat bakul Krokedai berpeluang menyaksikan lebih dekat cara pembuatan bakul daripada Biro Wanita Rumah Jambai di sini hari ini.

BEKENU, 30 Oktober: Bakul Krokedai (Koobai), hasil kraf tangan yang diusahakan Biro Wanita Rumah Jambai Bekelit, kini semakin mendapat sambutan dan permintaan daripada orang ramai.

Meskipun usaha penghasilan bakul moden bergaya itu masih baharu, ia dilihat mempunyai potensi besar untuk berkembang lebih jauh, khususnya menerusi penggunaan platform internet bagi tujuan pemasaran serta penyertaan dalam pelbagai program pameran kraf tangan.

Ketua Biro Wanita Rumah Jambai Bekelit, Bibi Unding berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkasa penglibatan wanita rumah panjang dalam aktiviti berasaskan kemahiran tangan yang bukan sahaja dapat memelihara warisan kraf tradisional, malah berpotensi menjana pendapatan tambahan untuk membantu ekonomi keluarga.

Katanya, program melibatkan golongan wanita sejak Julai lalu sebagai usaha meningkatkan penglibatan mereka dalam aktiviti kemasyarakatan dan keselamatan komuniti.

“Aktiviti permulaan kraf tangan ini bermula dengan enam orang dan kini melibatkan kira-kira belasan peserta.

“Dana permulaan pembelian alat, perkakas dan tali bakul adalah melalui sumbangan geran peruntukan projek kecil luar bandar (MRP) Datuk Rosey Yunus kepada Biro Wanita,” katanya ketika ditemui pada Program Rinduk Ati Bersama Biro Wanita Rumah Jambai di sini hari ini.

Tambahnya, bagi menjayakan kraf tangan yang lebih berkesan, bahawa kumpulan ini telah mengambil seorang pengajar tempatan untuk tunjuk ajar pelbagai teknik kemahiran dalam menganyam bakul pelbagai saiz.

“Harga seunit bakul Krokedai ini mengikut saiz iaitu RM60 hingga RM120.

“Tempoh penyiapan seunit bakul oleh seorang adalah kurang seminggu, ini bergantung kepada saiz dan corak bakul,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, kumpulan Biro Wanita Rumah Jambai mengucap terima kasih kepada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus yang hadir perasmian program Rinduk Ati hari ini, katanya lagi.

Oleh Adum Liu