30 pelajar, pensyarah ditauliah Renjer Hidupan Liar Kehormat

Facebook
WhatsApp
JENNY Ngeian Machau menyampaikan penerangan kepada peserta mengenai Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 dalam Program Latihan Renjer Hidupan Liar Kehormat anjuran SFC. Foto SFC

KUCHING, 30 Oktober: Seramai 30 pelajar dan pensyarah jurusan pelancongan dari tiga institusi pendidikan tinggi tempatan ditauliahkan sebagai Renjer Hidupan Liar Kehormat menerusi program latihan anjuran Perbadanan Hutan Sarawak (SFC).

Peserta terdiri daripada warga Kolej Komuniti Betong, Kolej Komuniti Sibu dan Politeknik Metro Betong yang mengikuti Program Latihan Renjer Hidupan Liar Kehormat selama tiga hari bermula 23 hingga 25 Oktober lalu di Blok Tapang, Ibu Pejabat SFC.

Menurut kenyataan rasmi SFC, program itu bertujuan memperkukuh pengetahuan peserta mengenai perundangan berkaitan hidupan liar serta meningkatkan kemahiran praktikal dalam usaha memelihara biodiversiti dan khazanah semula jadi Sarawak.

KETUA Bahagian Pemuliharaan, Pendidikan dan Latihan SFC, Bistari Mahmood menyampaikan sesi perkongsian mengenai kemahiran komunikasi kepada peserta Program Latihan Renjer Hidupan Liar Kehormat. Foto SFC

Ketua Bahagian Pemuliharaan, Pendidikan dan Latihan SFC, Bistari Mahmood berkata, pelantikan sebagai Renjer Hidupan Liar Kehormat membawa tanggungjawab penting dalam membantu menjaga serta mempertahankan khazanah alam semula jadi negeri ini.

Beliau menegaskan, pengiktirafan itu bukan sekadar gelaran, sebaliknya menuntut komitmen peserta untuk bersama-sama menyokong usaha pemuliharaan hidupan liar.

Sepanjang latihan, peserta mengikuti sesi kuliah teori yang dikendalikan pakar dan pegawai SFC, selain perbincangan serta pembentangan kumpulan berkaitan pengurusan hidupan liar dan peruntukan undang-undang berkaitan.

Peserta turut menjalani ujian penilaian bagi mengukur tahap kefahaman terhadap perundangan, khususnya Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 (Wild Life Protection Ordinance 1998) serta Ordinan Taman Negara dan Rizab Alam Semula Jadi (National Parks and Nature Reserves Ordinance).

Latihan berkenaan dikendalikan oleh barisan tenaga pengajar SFC yang terdiri daripada Sophia Sik Sze Yong, Ian Levi Jackery, Roslina Ragai, Jacqualine Henry, Nur Farihah Laden, Jenny Ngeian Machau, David Mohamad dan Bistari Mahmood.

Penganjuran program itu turut diselaraskan oleh Sophia Sik dari Pejabat Wilayah Kuching SFC dan Nurzulain Zulkfli dari Kolej Komuniti Betong.

Melalui program berkenaan, SFC berharap peserta dapat mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh dalam bidang pelancongan, sekali gus menyumbang kepada usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan melindungi biodiversiti dan warisan semula jadi Sarawak.

Oleh Afiq Sallehi

i-CATS kini dikenali sebagai TAHOTECH

KUCHING, 29 Oktober: i-CATS kini dikenali sebagai Sarawak Tun Openg University of Technology (TAHOTECH) susulan pengenalan nama, logo dan identiti