i-CATS kini dikenali sebagai TAHOTECH

Facebook
WhatsApp
KENANGAN…Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merakamkan gambar kenangan bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir serta tetamu kehormat yang lain pada majlis pengenalan nama dan identiti korporat baharu Sarawak Tun Openg University of Technology (TAHOTECH).

KUCHING, 29 Oktober: i-CATS kini dikenali sebagai Sarawak Tun Openg University of Technology (TAHOTECH) susulan pengenalan nama, logo dan identiti korporat baharu oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hari ini.

Penjenamaan semula itu mencerminkan aspirasi Sarawak untuk memperkukuh pendidikan tinggi, pembangunan bakat serta keupayaan negeri dalam bidang teknologi dan inovasi.

Penggunaan nama TAHOTECH sebagai singkatan rasmi universiti itu menandakan fasa transformasi baharu ke arah menjadi institusi pendidikan tinggi yang unggul dalam pembangunan bakat berkemahiran tinggi, penyelidikan berimpak dan inovasi teknologi termaju.

Langkah itu juga bertujuan memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai peneraju ekonomi berasaskan pengetahuan dan teknologi di peringkat nasional serta antarabangsa.

Perubahan identiti itu menyusuli pengiktirafan i-CATS sebagai universiti penuh oleh Kementerian Pendidikan Tinggi pada 20 Oktober lalu.

Pengiktirafan berkenaan membuka lembaran baharu bagi institusi milik kerajaan Sarawak itu untuk memainkan peranan lebih besar sebagai pemangkin pembangunan modal insan dan penyelidikan berimpak tinggi, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

LOGO Sarawak Tun Openg University of Technology (TAHOTECH).

Menurut Abang Johari, pengenalan identiti baharu itu bukan sekadar perubahan nama dan logo, sebaliknya mencerminkan hala tuju strategik universiti dalam melahirkan generasi berkemahiran tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan industri dan ekonomi berasaskan teknologi.

Beliau berkata, universiti itu perlu melahirkan graduan yang bukan sahaja menguasai ilmu pengetahuan dan teknologi, tetapi turut memiliki integriti, akhlak mulia serta nilai adab dalam menuntut dan mengembangkan ilmu.

“Kita mahu universiti ini menjadi institusi pendidikan tinggi yang bukan sahaja unggul dalam melahirkan graduan berilmu dan berkemahiran tinggi, tetapi juga membentuk modal insan holistik dan menyeluruh yang berintegriti, berakhlak mulia serta menjunjung tinggi nilai adab dalam menuntut dan mengembangkan ilmu,” katanya.

Beliau berkata, kemajuan Sarawak perlu dipacu oleh generasi yang bukan sahaja menguasai ilmu pengetahuan dan teknologi, malah mempunyai kematangan pemikiran, kekuatan sahsiah serta tanggungjawab terhadap masyarakat.

Katanya, keseimbangan antara penguasaan ilmu dan pembentukan sahsiah penting bagi melahirkan generasi berdaya saing, berwawasan serta berkeupayaan menerajui pembangunan Sarawak secara mampan.

Sementara itu, logo baharu TAHOTECH menggabungkan elemen warisan budaya Sarawak dengan reka bentuk berteraskan sumber asli, sains dan teknologi moden.

Identiti itu melambangkan sebuah institusi yang berakar pada jati diri tempatan, namun berpandangan jauh dalam meneroka kemajuan masa depan hingga ke peringkat global.