ESOK bakal menjadi satu lagi detik penting dalam sejarah pembangunan infrastruktur Sarawak apabila Jambatan Batang Lupar 2 dibuka kepada pengguna jalan raya, sekali gus membawa perubahan besar terhadap sistem perhubungan darat di kawasan Sri Aman dan Betong.
Selepas sekian lama menjadi antara projek infrastruktur yang dinantikan masyarakat, pembukaan jambatan bernilai RM223.633 juta itu bukan sekadar menyediakan laluan baharu merentasi Batang Lupar, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan jaringan Jalan Utama Kedua Sarawak.
Majlis Pra Pelancaran Jambatan Batang Lupar 2 dijadual berlangsung pada 3.00 petang esok di tapak projek jambatan berkenaan di Sri Aman.
Majlis itu akan disempurnakan Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Antara pengisian majlis termasuk taklimat projek, simbolik pembukaan jambatan, sesi fotografi serta sidang media.
Jambatan Ikonik Dengan Teknologi Kabel
Jambatan Batang Lupar 2 mempunyai panjang keseluruhan 870 meter dan dibina menggunakan reka bentuk cable-stayed atau jambatan kabel penahan.
Keistimewaan struktur ini terletak pada dua menara utamanya yang masing-masing berketinggian 145.5 meter, menjadikannya antara struktur jambatan ikonik di Sarawak.
Jambatan berkenaan turut mempunyai rentang utama sepanjang 450 meter, manakala laluan pelayaran selebar 200 meter disediakan pada ketinggian 23 meter bagi membolehkan pergerakan kapal di Batang Lupar.
Selain struktur utama jambatan, projek berkenaan turut merangkumi pembinaan jalan akses sepanjang kira-kira 2.08 kilometer, lengkap dengan sistem saliran, papan tanda dan kemudahan keselamatan jalan raya.
Ia dibina mengikut piawaian JKR R5 bagi menyediakan kemudahan perjalanan yang lebih selesa dan selamat kepada pengguna.
Bermula Pada 2020, Pembinaan Penuh Pada 2022
Pelaksanaan projek Jambatan Batang Lupar 2 pada asalnya dijadualkan bermula pada Jun 2020.
Bagaimanapun, pelaksanaannya berdepan kelewatan susulan pandemik COVID-19 sebelum kerja-kerja pembinaan penuh dimulakan pada 2022.
Projek yang dilaksanakan oleh usaha sama Naim Gamuda (NAGA) JV Sdn Bhd itu turut berdepan beberapa cabaran, termasuk isu logistik mendapatkan bahan binaan dan tenaga kerja.
Walaupun berdepan pelbagai kekangan, projek berkenaan akhirnya menghampiri fasa penyempurnaan dan bakal memberikan manfaat besar kepada penduduk setempat serta pengguna jalan raya.
Sri Aman-Betong Lebih Dekat, Perjalanan Lebih Singkat
Antara manfaat paling ketara hasil pembukaan jambatan ini ialah perubahan besar terhadap hubungan perjalanan antara Sri Aman dengan Betong.
Sebelum ini, pengguna jalan raya perlu menempuh perjalanan kira-kira 73 kilometer melalui laluan sedia ada (Lebuh Raya Pan Borneo).
Dengan ada Jambatan Batang Lupar 2 dan rangkaian jalan penghubungnya, jarak perjalanan dijangka dapat dikurangkan kepada sekitar 28 kilometer, manakala masa perjalanan dapat dipendekkan daripada kira-kira satu jam kepada sekitar 25 minit.
Pengurangan jarak dan masa perjalanan ini pastinya memberikan kelebihan kepada penduduk yang berulang-alik antara kedua-dua kawasan berkenaan.
Lebih penting, kemudahan tersebut turut memudahkan urusan penghantaran barangan, pergerakan pekerja, akses kepada perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan pelbagai urusan harian masyarakat.
Melengkapkan Jalan Utama Kedua Sarawak
Lebih daripada sekadar menghubungkan Sri Aman dan Betong, Jambatan Batang Lupar 2 mempunyai peranan strategik sebagai komponen penting dalam pembangunan Jalan Utama Kedua Sarawak.
Jambatan ini menjadi penghubung penting kepada rangkaian jalan raya baharu yang menghubungkan kawasan Sri Aman dengan Betong melalui Lidong dan seterusnya ke rangkaian jalan utama negeri.
Pembangunan Jalan Utama Kedua turut membuka pilihan laluan alternatif kepada pengguna dari arah Sibu untuk menuju ke Betong melalui Pakan dan Ulu Paku tanpa perlu melalui Bandar Saratok seperti laluan sedia ada.
Inisiatif ini dijangka membantu mengagihkan aliran trafik, mengurangkan kebergantungan kepada laluan tertentu serta meningkatkan kecekapan perjalanan antara bahagian di Sarawak.
Apabila rangkaian Jalan Utama Kedua dan Jalan Pesisir Sarawak disempurnakan sepenuhnya, hubungan antara kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman akan menjadi lebih menyeluruh.
Peluang Ekonomi Dan Pelancongan Terbuka Luas
Dari sudut ekonomi, pembukaan Jambatan Batang Lupar 2 dijangka membawa kesan positif kepada penduduk dan pengusaha tempatan.
Akses jalan raya yang lebih baik membolehkan hasil pertanian, produk perusahaan kecil dan barangan perdagangan dihantar dengan lebih mudah serta menjimatkan masa perjalanan.
Pada masa sama, peniaga, pengusaha pengangkutan dan sektor perkhidmatan berpeluang menikmati limpahan aktiviti ekonomi apabila pergerakan penduduk antara Sri Aman dan Betong semakin lancar.
Potensi pelancongan juga tidak harus diketepikan.
Jambatan berkenaan berpotensi menjadi tarikan baharu di Sri Aman, khususnya dengan reka bentuk ikoniknya serta kedudukannya yang merentasi Batang Lupar, sungai yang terkenal dengan fenomena benak.
Kehadiran pengunjung yang ingin menyaksikan keunikan jambatan dan panorama sungai berkenaan berpotensi memberi manfaat kepada perniagaan serta komuniti setempat.
Bukan Sekadar Jambatan, Tetapi Penghubung Masa Depan
Hakikatnya, pembukaan Jambatan Batang Lupar 2 membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar kemudahan menyeberangi sungai.
Ia merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Sarawak memperkukuh jaringan pengangkutan, merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar serta menyediakan kemudahan infrastruktur yang lebih baik untuk rakyat.
Bagi masyarakat Sri Aman dan Betong, jambatan ini membuka lembaran baharu dalam kehidupan seharian apabila perjalanan menjadi lebih mudah, hubungan antara kawasan semakin dekat dan peluang ekonomi semakin terbuka.
Pembukaan jambatan ini juga melengkapkan satu lagi bahagian penting dalam usaha membangunkan Jalan Utama Kedua Sarawak, sekali gus memperkukuh hubungan antara wilayah dan menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.
Akhirnya, Jambatan Batang Lupar 2 bukan sekadar menghubungkan dua tebing sungai, tetapi menghubungkan masyarakat, membuka peluang dan membawa harapan baharu kepada masa depan Sarawak.
Satu jambatan dibuka, satu lagi laluan pembangunan terbentang.
Oleh Adi Safarman




