350 penerima di Bukit Saban terima geran hak milik tanah Seksyen 18

Facebook
WhatsApp
SERAMAI 350 penerima di kawasan Bukit Saban telah menerima Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak bagi kawasan Bukit Saban di Dewan Masyarakat Spaoh. Foto Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong

SPAOH, 29 Oktober: Seramai 350 penerima di kawasan Bukit Saban telah menerima Surat Hak Milik Tanah (SHT) di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak (KTS) menerusi satu majlis penyerahan yang dianjurkan oleh Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong di Dewan Masyarakat Spaoh, hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong Sabai.

Turut hadir ialah Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, Moris Nayup, Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh serta beberapa pemimpin masyarakat dan penerima geran tanah.

Program ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan Sarawak dalam memperkukuh hak pemilikan tanah adat Bumiputera (NCR) melalui pengeluaran geran hak milik kekal yang sah dan berdaftar.

Dengan pemberian geran tersebut, pemilik tanah memperoleh jaminan pemilikan yang lebih kukuh berbanding status NCR yang belum didaftarkan.

Menurut maklumat Jabatan Tanah dan Survei, sebanyak 17 kawasan telah direkodkan di bawah projek perintis pengukuran menggunakan teknologi kaedah ‘Hand-Held GPS’.

ROSELINE Mapong menyampaikan Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak kepada penerima. Foto Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong

Projek itu melibatkan keluasan 578.2 hektar dengan 549 lot berjaya diukur daripada keseluruhan 2,391.17 hektar yang dikenal pasti. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 303 lot telah berjaya dikeluarkan Surat Hak Milik Tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.

Selain itu, menerusi projek perintis Jubilee Occupation Ticket (JOT), sebanyak 152 lot dikenal pasti untuk tujuan penyukatan. Daripada jumlah itu, 77 lot dengan keluasan 101.4 hektar berjaya didaftarkan dan layak menerima Surat Hak Milik Tanah.

Bagi kawasan Bukit Saban, sebanyak 488 lot telah berjaya disukat menerusi Program Inisiatif Baharu NCR dengan keluasan keseluruhan dianggarkan 929.7 hektar.

Daripada jumlah tersebut, 350 penerima akan menerima geran hak milik tanah yang melibatkan kawasan seluas lebih 929.36 hektar.

Antara kawasan yang terlibat dalam penyerahan kali ini ialah Ulu Bayor Rimbas Debak, Ulu Rimbas Asal dan Baru, Kawasan Inar Debak, Ulu Paku Spaoh serta Kampung Hulu Spaoh.

Penyerahan geran itu dijangka memberi manfaat kepada komuniti Iban dan Melayu setempat melalui pengiktirafan rasmi hak pemilikan tanah mereka.

Inisiatif berkenaan selaras dengan komitmen kerajaan Sarawak untuk mempercepatkan penyukatan tanah NCR, meningkatkan keselamatan pemilikan tanah rakyat serta menyokong pembangunan sosioekonomi masyarakat luar bandar di negeri ini.

Oleh Adi Safarman