Bantuan peralatan tingkat pengeluaran kuih tradisional Dayang Mastura empat kali ganda

Facebook
WhatsApp
DAYANG Mastura kini mampu menghasilkan kira-kira 200 biji kuih dalam satu-satu masa berbanding hanya 50 biji sebelum menerima peralatan berkenaan. Foto: Douglas Uggah Embas Official

SPAOH, 29 Oktober: Bantuan peralatan membuat kuih yang diterima pada 2024 berjaya membantu usahawan tempatan dari Kampung Sungai Penggan, Spaoh, Dayang Mastura Abang Julhi meningkatkan kapasiti pengeluaran kuih tradisional sehingga empat kali ganda.

Menerusi bantuan yang disalurkan hasil usaha Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas itu, Dayang Mastura kini mampu menghasilkan kira-kira 200 biji kuih dalam satu-satu masa berbanding hanya 50 biji sebelum menerima peralatan berkenaan.

Peningkatan itu bukan sahaja meningkatkan produktiviti perniagaannya, malah memudahkan proses penyediaan dan penghasilan kuih tradisional yang diusahakannya sejak lima tahun lalu.

Menurut Dayang Mastura, bantuan tersebut memberikan dorongan baharu untuk beliau terus mengembangkan perniagaan, selain meningkatkan keyakinan dalam meneruskan usaha sebagai usahawan kecil dalam sektor makanan.

“Setelah mendapat bantuan peralatan membuat kuih ini, saya berasa lebih bersemangat untuk meneruskan usaha dalam bidang ini. 

DAYANG Mastura menghasilkan pelbagai jenis kuih tradisional, antaranya kuih rangin, kuih koci dan kuih bom, yang dipasarkan di sekitar Spaoh, Betong dan Saratok. Foto: Douglas Uggah Embas Official

“Peralatan tersebut juga memudahkan proses penyediaan dan penghasilan kuih,” katanya.

Beliau menghasilkan pelbagai jenis kuih tradisional, antaranya kuih rangin, kuih koci dan kuih bom, yang dipasarkan di sekitar Spaoh, Betong dan Saratok.

Dayang Mastura turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Douglas Uggah, yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban, serta kerajaan atas bantuan dan keprihatinan terhadap keperluan usahawan kecil, khususnya mereka yang terlibat dalam sektor makanan.

Bantuan berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif aktiviti ekonomi dalam bidang makanan yang bertujuan membantu usahawan tempatan meningkatkan keupayaan perniagaan dan memperluas pasaran produk mereka.

Selain meningkatkan kapasiti pengeluaran, sokongan berbentuk peralatan juga membantu meringankan urusan operasi harian, sekali gus memberikan peluang kepada usahawan kecil untuk memperkukuh pendapatan dan memastikan kelangsungan perniagaan.

Kejayaan Dayang Mastura membuktikan bahawa bantuan bersesuaian dengan keperluan usahawan mampu memberikan impak positif terhadap produktiviti dan perkembangan ekonomi setempat.

Pada masa sama, usaha beliau meneruskan penghasilan kuih tradisional turut membantu mengekalkan warisan makanan tempatan agar terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Oleh Adi Safarman