JIM terima kunjungan hormat Konsul Jeneral Republik Indonesia

Facebook
WhatsApp
DELEGASI JIM Sarawak dan Konsulat Jeneral Republik Indonesia mengadakan perbincangan mengenai kerjasama serta pengurusan warga Indonesia di Sarawak. Foto JIMS.

KUCHING, 29 Oktober: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menerima kunjungan hormat Konsul Jeneral Republik Indonesia, Dr. Abdullah Zulkifli, bagi memperkukuh kerjasama dua hala, khususnya dalam pengurusan warga Indonesia di Sarawak.

Delegasi Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) itu disambut Pengarah JIM Sarawak, Datuk Abdul Halim Abang Naili, bersama pegawai kanan jabatan berkenaan semalam.

Kunjungan itu turut menjadi platform untuk memperkenalkan beberapa pegawai baharu KJRI serta membincangkan perkara berkepentingan bersama, termasuk kebajikan dan pengurusan warga Indonesia di negeri ini.

Antara perkara dibincangkan ialah hasrat KJRI membuka pejabat perwakilan di Miri bagi memudahkan urusan warga Indonesia, khususnya di kawasan utara Sarawak yang merangkumi Miri, Bintulu, Limbang dan Lawas.

Kedua-dua pihak turut membincangkan sistem yang digunakan di Johor Bahru bagi melancarkan proses pemindahan pulang warga Indonesia ke negara asal.

KJRI Kuching menyatakan hasrat untuk mempelajari sistem berkenaan bagi menilai kesesuaiannya untuk dilaksanakan di Sarawak, tertakluk kepada keperluan dan prosedur berkaitan.

Kunjungan itu mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua pihak untuk meningkatkan penyelarasan urusan imigresen serta memperkukuh kerjasama dalam pengurusan warga Indonesia di Sarawak.

Oleh Shikin Mahmud