MDLA perkasa usahawan lokal Engkilili melalui pendigitalan perniagaan

Facebook
WhatsApp
PROGRAM Lubok Antu GROW WITH H.E.A.R.T. (Harmoni, Keberkesanan, Kebolehsuaian, Berdaya Tahan dan Transformatif) yang berlangsung di Perpustakaan Awam Engkilili. Foto MDLA

ENGKILILI, 29 Oktober: Majlis Daerah Lubok Antu (MDLA) terus mempergiat usaha memperkasakan usahawan tempatan menerusi pendigitalan perniagaan, pengurusan kewangan dan pendedahan kepada peluang pelaburan serta perlindungan sosial.

Usaha itu direalisasikan menerusi Aktiviti Pendigitalan Perniagaan Usahawan Lokal MDLA di bawah Program Lubok Antu GROW WITH H.E.A.R.T. (Harmoni, Keberkesanan, Kebolehsuaian, Berdaya Tahan dan Transformatif) yang berlangsung di Perpustakaan Awam Engkilili, hari ini.

Program berkenaan bertujuan memberikan penerangan, peluang dan akses kepada kemudahan berkaitan pengurusan kewangan, simpanan, pelaburan serta perlindungan sosial bagi membantu usahawan tempatan mengurus dan mengembangkan perniagaan dengan lebih berkesan.

Sesi penerangan dan perkhidmatan khas itu turut mendapat kerjasama tiga agensi jemputan, iaitu Agrobank Lubok Antu, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Sri Aman.

Penganjuran program itu menerima sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan pemegang taruh, termasuk pemilik lesen Native Village Shop, pemilik lesen premis makanan dan minuman, penyewa premis MDLA serta kontraktor.

Program itu turut mendapat sokongan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta ahli-ahli majlis, sekali gus memperlihatkan kepentingan kerjasama pelbagai pihak dalam memperkukuh ekosistem keusahawanan tempatan.

Dalam perutusan yang disampaikan oleh wakil Setiausaha MDLA, Audrey Annabel Chimbi, beliau menerangkan peranan Perpustakaan Awam sebagai Pusat Digital Komuniti yang memberi tumpuan kepada lima bidang utama, iaitu digital, keusahawanan, pendidikan, bakat dan kebudayaan.

“Peranan perpustakaan kini berkembang melangkaui fungsi tradisional sebagai pusat sumber, sebaliknya dijenamakan semula sebagai Pusat Digital Komuniti yang menyediakan ruang untuk masyarakat mendapatkan akses kepada ilmu, teknologi dan peluang pembangunan diri,” katanya.

Sehubungan itu, MDLA menggesa komuniti usahawan agar memanfaatkan Perpustakaan Awam Engkilili sebagai ‘rumah kedua’ untuk meneroka peluang baharu, meningkatkan kemahiran digital dan mengembangkan perniagaan masing-masing.

Menerusi inisiatif berkenaan, MDLA berharap komuniti usahawan tempatan dapat menjadi lebih berdaya saing, celik kewangan dan mampu memanfaatkan teknologi digital secara optimum.

Langkah itu juga diharap dapat membantu usahawan di Daerah Lubok Antu terus berkembang, menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi serta bergerak seiring dengan kemajuan komuniti keusahawanan di daerah lain.

Oleh Adi Safarman