PETRA JAYA, 29 Oktober: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, belum memberikan kepastian mengenai hasratnya untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
Ketika ditanya mengenai perkara itu, beliau meminta semua pihak menunggu perkembangan lanjut selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat pada 6 November ini bagi menentukan tarikh penamaan calon dan hari pengundian.
Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan pada mesyuarat Gabungan Parti Sarawak (GPS) semalam, susulan pemakluman daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada SPR.
“Tunggu harinya kelak. Kita semalam bermesyuarat di GPS dan dimaklumkan bahawa SPR akan mengadakan mesyuarat selepas mereka menerima pemakluman daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.
“Mereka akan bermesyuarat pada 6 November ini untuk menentukan tarikh penamaan calon dan hari pengundian. Dari situ nanti kita akan mengetahui dengan lebih jelas. Tunggu saja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Perhimpunan Wanita Antarabangsa Asia Selatan di Bilik Mesyuarat Wisma Wanita, di sini, hari ini.
Pada 24 Oktober lalu, ketika ditanya mengenai hasratnya untuk terus berkhidmat sebagai wakil rakyat, Fatimah dilaporkan berseloroh bahawa beliau mahu menyimpan perkara itu untuk dirinya sendiri, tanpa mengesahkan sama ada akan mempertahankan kerusi pada PRN akan datang.
Dalam perkembangan berkaitan, Premier Sarawak yang juga Presiden PBB, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada 28 Oktober mengesahkan terdapat menteri daripada parti itu yang akan mengundurkan diri menjelang PRN Sarawak Ke-13, namun tidak mendedahkan identiti atau jumlah mereka.
Oleh Shikin Mahmud





