PBB kemas penyelarasan jentera, SOP bahan kempen diperhalusi

Facebook
WhatsApp
DATUK Fazzrudin Abdul Rahman ditemui pemberita selepas Mesyuarat Penyelarasan Pengagihan dan Pengedaran Barangan serta Bahan Kempen PRN Sarawak di Ibu Pejabat PBB di Petra Jaya, hari ini.

PETRA JAYA, 29 Oktober: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memperkukuh penyelarasan dalaman parti dengan memperhalusi tatacara pengurusan dan penghantaran bahan kempen bagi memastikan kesiapsiagaan jentera menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 berjalan lancar.

Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman berkata, langkah itu diambil lebih awal bagi mengelakkan masalah penyelarasan dan beban tugas yang boleh timbul sekiranya persiapan hanya dilakukan menjelang hari penamaan calon.

Menurutnya, bahan kempen parti telah tersedia, namun pengagihan belum dimulakan kerana mesyuarat kali ini memberi tumpuan kepada pemantapan prosedur operasi standard (SOP), khususnya berkaitan urusan penghantaran serta penyelarasan antara ibu pejabat dan kawasan.

“Apabila tiba hari penamaan calon, semua jentera sudah tentu sibuk dengan tanggungjawab masing-masing. Sebab itu kita mahu memastikan arahan dan SOP difahami lebih awal supaya pelaksanaannya nanti lebih teratur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Penyelarasan Pengagihan dan Pengedaran Barangan serta Bahan Kempen PRN Sarawak di Ibu Pejabat PBB, di sini, hari ini.

Fazzrudin berkata, perbincangan itu turut meneliti keberkesanan saluran komunikasi antara sekretariat ibu pejabat PBB dengan cawangan serta kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah parti berkenaan.

Katanya, maklum balas daripada wakil kawasan turut diambil kira bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan terhadap SOP sedia ada, terutama dalam memastikan urusan penghantaran bahan kempen dapat dilaksanakan dengan lebih cekap.

Beliau menjelaskan, penyelarasan lebih awal juga memberi peluang kepada setiap kawasan untuk merancang pembahagian tugas dan menyusun gerak kerja masing-masing sebelum memasuki fasa pilihan raya yang lebih sibuk.

“Kalau persiapan dibuat terlalu lewat, wakil dari kawasan perlu datang untuk berbincang pada saat akhir, sedangkan mereka juga mempunyai urusan prosedur dan perancangan strategik lain yang perlu diselesaikan.

“Jadi, kita memilih untuk mengadakan perbincangan lebih awal supaya apabila mereka kembali ke kawasan masing-masing, persiapan sekretariat dan urusan penghantaran bahan dapat dirancang dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, mesyuarat berkenaan melibatkan semua kawasan DUN yang diwakili PBB dan tertumpu khusus kepada aspek pentadbiran serta prosedur dalaman parti.

Sementara itu, penyelarasan membabitkan parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah dibincangkan secara berasingan oleh Setiausaha Agung GPS, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Fazzrudin menegaskan bahawa mesyuarat berkenaan bukan melibatkan pengagihan bahan kempen, sebaliknya bertujuan memperkemas sistem pengurusan dan memastikan setiap kawasan mempunyai kefahaman yang jelas mengenai prosedur yang perlu dipatuhi apabila pilihan raya berlangsung.

Oleh Shahrul Qaizat