SHMMP Deepavali berkuat kuasa 4-10 November, libatkan 11 jenis barangan

Facebook
WhatsApp
SHMMP Deepavali 2026 dilaksanakan 4 hingga 10 November melibatkan 11 barangan keperluan, termasuk santan dan ubi kentang (China) yang baharu disenaraikan tahun ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Oktober: Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2026 akan dilaksanakan mulai 4 hingga 10 November ini melibatkan 11 jenis barangan keperluan berbanding sembilan jenis tahun lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata dua barangan baharu yang ditambah tahun ini ialah santan dan ubi kentang (China) bagi memastikan liputan barangan kawalan yang lebih menyeluruh.

Selain itu, barangan lain yang termasuk di bawah SHMMP ialah bawang merah besar, bawang merah kecil India, bawang merah kecil India (Ros), cili merah, daging kambing biri-biri bertulang import, kacang dal (Australia), tomato, kelapa biji dan kelapa parut.

“Berdasarkan analisis perbandingan harga bagi SHMMP Deepavali 2025 dan 2026, majoriti barangan kawalan disenaraikan menunjukkan trend harga yang stabil. 

“Bagi Semenanjung, lima barangan mengalami penurunan harga maksimum ditetapkan berbanding tahun lepas iaitu kelapa biji, kelapa parut, bawang merah besar, bawang merah kecil India dan kacang dal (Australia), manakala tiga barangan kekal harganya iaitu tomato, cili merah dan bawang merah kecil India (Ros),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelaksanaan SHMMP Deepavali 2026 di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh.

Armizan berkata di Sabah, dua barangan mencatatkan penurunan harga iaitu bawang merah besar dan kacang dal Australia, manakala di Sarawak, tiga barangan mengalami penurunan melibatkan kelapa parut, bawang merah kecil India dan kacang dal Australia.

Selain itu, beliau berkata lima barangan kekal pada harga sama iaitu tomato, cili merah, kelapa biji, bawang merah kecil India (Ros) dan bawang merah besar.

Sementara itu, di Labuan, Armizan berkata hanya kacang dal Australia mencatatkan penurunan harga maksimum, manakala tujuh barangan lain masih pada harga sama.

Beliau berkata daging kambing biri-biri bertulang import merupakan satu-satunya barangan yang mencatatkan peningkatan harga maksimum di peringkat borong dan runcit di seluruh Semenanjung, Sabah, Sarawak serta Labuan.

“Pelaksanaan SHMMP Deepavali 2026 adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa iaitu mewujudkan suasana menang-menang kepada pengguna dan peniaga. Pengguna dapat menikmati harga berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama,” katanya.

SHMMP Deepavali 2026 dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, dengan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ditempatkan di lokasi strategik termasuk pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah bagi memastikan peniaga mematuhi harga maksimum.

Selain skim itu, KPDN turut melaksanakan Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) Deepavali serta program Servis Ihsan MADANI@Petronas AutoExpert (SIM@PAX) dari 25 Okt hingga 7 Nov ini melibatkan 124 bengkel di seluruh negara.

Orang ramai boleh menyalurkan aduan berkaitan kepatuhan harga melalui WhatsApp 019-848 8000, Pusat Panggilan 1-800-886-800, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my atau aplikasi Ez ADU KPDN. – Bernama