Kelas PLF masih relevan bagi mengurangkan jurang komuniti luar bandar

Facebook
WhatsApp
LIMA adik beradik, Al Habir Sadid, Al Khabir Sadid, Al Rapi Sadid, Al Hapid Sadid dan Al Bakri Sadid yang turut mengikuti Kelas Pendidikan Litersi Fungsian KEMAS daerah Marudi. Foto: Jiku Juguong

MARUDI, 29 Oktober: Program Pendidikan Literasi Fungsian (PLF) bukan sekadar mengajar asas membaca, menulis dan mengira (3M) malah ia membawa skop yang lebih luas iaitu memperkasakan literasi fungsian yang merangkumi kemahiran hidup, pengurusan kendiri serta cerdik digital dan ekonomi.

Pegawai KEMAS Daerah Marudi, Therry Noel George Anyi berkata tujuan utama PLF hakiki ialah untuk memberi peluang kedua atau pendidikan sepanjang hayat, kepada golongan dewasa dan komuniti luar bandar untuk menguasai kemahiran asas 3M yang boleh diaplikasikan secara langsung dalam urusan hidup sebenar.

Katanya objektif  khusus PLF ialah untuk membasmi buta huruf dan buta angka dan membantu peserta  mengenal huruf, mengeja, membaca arahan mudah, menandatangani dokumen rasmi serta melakukan kira-kira asas.

Dalam pada itu Therry menekankan kelas literasi fungsian ini bagi memastikan kemahiran membaca dan mengira yang dipelajari dapat digunakan untuk keperluan rutin contohnya membaca label ubat, memahami papan tanda, menyemak resit perbelanjaan atau mengisi borang bantuan kerajaan.

“Pendedahan Literasi Digital Asas menurut beliau ialah untuk mendedahkan peserta kepada asas teknologi seperti menggunakan telefon pintar dengan selamat, membaca mesej penting dan mengelakkan penipuan dalam talian,” katanya.

Malah ujarnya program PLF ini ialah juga untuk membina keyakinan diri warga dewasa agar tidak berasa rendah diri atau terasing apabila berurusan di bank, klinik kesihatan atau pejabat agensi kerajaan.

Tambah Therry walaupun sistem persekolahan negara semakin meluas, kelas PLF Hakiki tetap amat relevan kerana mengurangkan jurang komuniti luar bandar terutama warga emas, suri rumah dan komuniti pedalaman yang tidak berpeluang menamatkan persekolahan formal.

Maka itu katanya peserta tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada pihak ketiga atau anak-anak membaca surat rasmi, membuat transaksi kewangan mudah atau menyemak bantuan tunai.

Tegasnya golongan buta huruf amat mudah dimanipulasi atau menjadi mangsa penipuan yang mana literasi fungsian menjadi bentang perlindungan asas bagi hak dan kenbajikan mereka.

“Penguasaan 3M turut membuka jalan kepada peserta untuk menyertai kelas kemahiran KEMAS lain seperti jahitan, masakan atau keusahawanan kecil desa,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Graduasi Kelas Pendidikan Literasi Fungsian (PLF) Hakiki KEMAS bagi Tahun 2026 ajuran yang telah diadakan di Bilik Seminar Dewan Suarah Marudi hari ini.

Beliau berharap agar ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang program PLF ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dalam kehidupan seharian seterusnya menjadi pemangkin kepada peningkatan taraf hidup keluarga dan masyarakat sekitar.