SIMUNJAN, 29 Oktober: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Samarahan terus mempergiat usaha pencegahan dadah dalam kalangan generasi muda menerusi program pendidikan awal bagi membentuk murid yang bijak membuat pilihan serta berani menolak pengaruh negatif.
Usaha itu dilaksanakan menerusi ceramah bertajuk “Bijak Memilih, Berani Menolak: Generasi Murid Tanpa Dadah” dan pameran pencegahan antidadah sempena Program Jalinan Keselamatan dan Kesejahteraan Murid di Dewan Sri Kumang, Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Pedalai, Simunjan, semalam.
Menurut kenyataan AADK Daerah Samarahan, program berkenaan menyasarkan murid sekolah rendah bagi memupuk kesedaran sejak awal mengenai bahaya penyalahgunaan dadah serta bahan terlarang.
Menerusi sesi ceramah interaktif, murid didedahkan kepada kepentingan membuat keputusan yang tepat, membina keberanian untuk menolak pelawaan negatif serta memahami kesan buruk penyalahgunaan dadah terhadap kesihatan, pendidikan, keluarga dan masa depan mereka.
Selain itu, reruai pameran antidadah turut disediakan bagi memberikan maklumat mengenai pencegahan dadah, mengenali jenis bahan terlarang yang perlu dielakkan serta membuka ruang kepada murid untuk mengemukakan pertanyaan kepada pegawai AADK.
AADK Daerah Samarahan menegaskan bahawa pendedahan pada peringkat awal persekolahan amat penting dalam membina daya tahan diri generasi muda agar sentiasa berwaspada, berdisiplin dan mampu melindungi diri daripada pengaruh yang boleh menjejaskan kehidupan mereka.
Sehubungan itu, kerjasama antara agensi kerajaan dengan institusi pendidikan dilihat penting bagi memastikan mesej pencegahan dadah dapat disampaikan secara berkesan kepada golongan sasaran.
AADK Daerah Samarahan turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak pentadbiran SK Padang Pedalai atas jemputan serta komitmen dalam menjayakan program berkenaan.
Inisiatif itu diharap dapat menyemai kesedaran dan membentuk generasi pewaris negara yang sihat, berdaya tahan serta bebas daripada ancaman dadah.
Oleh Adi Safarman





