KUALA LUMPUR, 29 Oktober: Kumpulan Dolla melakar pencapaian baharu dalam kerjaya seni mereka apabila membuat penampilan sulung di Eropah menerusi The A Music Festival di Paris, Perancis, baru-baru ini.
Persembahan di Paris Event Centre itu disaksikan oleh kira-kira 2,000 penonton, termasuk peminat dari Perancis, United Kingdom, Jerman dan Itali, dengan trio terdiri daripada Angel, Sabronzo dan Tabby menyampaikan 12 lagu, antaranya Ugly, Impikan dan Bad, All Over You yang belum dilancarkan, serta Bad Girls Like You bersama-sama dengan penyanyi Thailand, Tobii.
“Perasaan ini memang luar biasa dan peluang yang sangat bermakna buat kami. Selepas enam tahun berusaha dan bekerja keras, akhirnya berpeluang membuat persembahan di pentas Eropah buat kali pertama, terasa seperti satu pencapaian yang sangat besar dan suasana di dalam dewan terasa seperti mimpi,” kata Angel dalam kenyataan hari ini.
Sabronzo pula berkata kemesraan dan sokongan penonton yang pertama kali ditemui mereka, memberikan pengalaman istimewa sepanjang persembahan di Paris, manakala pertemuan dengan peminat di Trocadéro membolehkan mereka mengenali lebih dekat penyokong yang selama ini mengikuti perjalanan Dolla dalam talian.
“Yang paling mengejutkan saya ialah kemesraan dan sokongan mereka yang begitu kuat. Tenaga mereka menular sampai saya betul-betul tidak mahu persembahan itu berakhir. Rasanya sangat istimewa apabila disambut dengan begitu mesra di tempat yang jauh dari rumah,” katanya.

Sabronzo turut meluahkan rasa terharu apabila mengetahui muzik mereka mendapat tempat di hati peminat Eropah sehingga ada yang sanggup hadir menyaksikan persembahan, mempelajari koreografi dan menyertai rakaman tarian bersama kumpulan itu.
“Mengetahui muzik kami telah sampai sejauh ini dan begitu dekat di hati orang ramai, sehingga mereka datang menonton persembahan, mempelajari koreografi kami, malah menyertai kami dalam rakaman tarian dan pertemuan peminat di sekitar Paris, memang sesuatu yang luar biasa,” katanya.
Sementara itu, Tabby berkata kejayaan melakukan persembahan tersebut merupakan hasil persiapan rapi Dolla bersama-sama pasukan mereka, selain menyifatkan penghargaan penonton terhadap usaha mereka sebagai detik yang sukar dilupakan.
“Saya sangat bangga kerana kami dan pasukan berjaya melakukan persembahan yang hebat selepas mencurahkan segala usaha dan tenaga untuk membuat persiapan. Saya hampir menangis kerana terlalu bangga dengan kami, melihat dan mendengar usaha keras kami dihargai oleh penonton di Paris,” katanya.
Dolla merupakan satu-satunya kumpulan dari Malaysia dalam barisan artis The A Music Festival yang turut menampilkan JASP.ER, 4EVE dan Tobii dari Thailand; TRENDZ serta Jacob dari Korea Selatan; dan Alamat dari Filipina.
Dolla juga bertemu dengan wakil Kedutaan Malaysia di Paris bagi membincangkan potensi kerjasama dan peluang pada masa depan.- Bernama





