Pendidikan dan pemulihan perlu bergerak seiring – KPM

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Pengarah Bahagian Pendidikan Islam KPM, Dr Md Zuraini Mashrom berucap mengenai kepentingan pendidikan dan pemulihan dalam membentuk sahsiah serta jati diri murid pada Majlis Penutupan Program Hijrah Kasih Kali Ke-18 di Penjara Puncak Borneo.

KUCHING, 29 Oktober: Pendidikan dan proses pemulihan perlu bergerak seiring bagi memastikan murid di institusi penjara terus mendapat akses kepada ilmu pengetahuan, selain membina sahsiah dan jati diri sebagai persediaan untuk kembali ke pangkuan masyarakat.

Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan (KPM), Dr Md Zuraini Mashrom berkata, peluang mendapatkan pendidikan perlu dinikmati semua murid tanpa mengira latar belakang, termasuk mereka yang berada di institusi pemulihan penjara.

Menurutnya, komitmen itu selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035 yang menekankan usaha merapatkan jurang pendidikan serta memperkukuh akses dan ekuiti bagi memastikan setiap murid mendapat peluang pendidikan berkualiti.

CERAMAH motivasi dan kekeluargaan disampaikan oleh Penolong Pengarah Unit Kerohanian dan Kepimpinan Islam, Bahagian Pendidikan Islam KPM, Ahmad Salehuddin Shafie kepada peserta Program Hijrah Kasih Kali Ke-18.

Katanya, Program Hijrah Kasih yang bermula sejak 2011 membuktikan komitmen KPM bersama Jabatan Penjara Malaysia dalam menyediakan pengalaman pembelajaran bermakna kepada murid daripada pelbagai latar belakang.

“Program ini juga menjadi pemangkin kepada program pendidikan dan pemulihan yang sedia dilaksanakan di penjara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan Program Hijrah Kasih Kali Ke-18 KPM Tahun 2026 di Penjara Puncak Borneo, hari ini.

SERAMAI 66 murid menyertai Program Hijrah Kasih Kali Ke-18 yang berlangsung selama tiga hari dengan pengisian kerohanian, motivasi dan kekeluargaan.

Dr Md Zuraini berkata, RPM 2026–2035 turut memberi penekanan kepada pembentukan lima ciri murid, iaitu beradab, berilmu, berkemahiran, berdaya tahan dan berkeyakinan.

Menurutnya, Program Hijrah Kasih merupakan antara pendekatan yang membantu membentuk ciri berkenaan, selain melahirkan murid yang mempunyai penghayatan kerohanian tinggi serta mengamalkan nilai murni.

“Kita bukan sahaja mahu melahirkan murid yang berilmu dan berkemahiran, tetapi juga mempunyai adab, kerohanian yang tinggi, nilai murni serta jati diri yang teguh.

PERSEMBAHAN dari murid.

“Justeru, kita berharap sinergi antara KPM dan Jabatan Penjara Malaysia menerusi program sebegini dapat diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Penjara Malaysia atas kerjasama dalam menjayakan program berkenaan, termasuk pelaksanaan Program Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di penjara seluruh negara, khususnya di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney.

Program Hijrah Kasih Kali Ke-18 yang berlangsung selama tiga hari itu disertai 66 murid di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney, Penjara Puncak Borneo.

BERGAMBAR kenangan bersama tetamu kehormat, urus setia, fasilitator, peserta serta ibu bapa dan ahli keluarga sempena Program Hijrah Kasih Kali ke-18 KPM Tahun 2026.

Program anjuran Bahagian Pendidikan Islam KPM dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dan Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri itu bertujuan memperkukuh akidah, penghayatan nilai murni serta pengetahuan asas syariat, di samping meningkatkan keyakinan diri dan semangat murid untuk berubah ke arah kehidupan lebih baik.

Majlis penutupan turut dihadiri ibu bapa dan ahli keluarga peserta.

Oleh Afiq Sallehi