SPAOH, 28 Oktober: Dua pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Spaoh mengalami masalah kesihatan ketika sesi persekolahan pagi tadi sehingga memerlukan bantuan kecemasan.
Kedua-dua pelajar itu menerima bantuan awal daripada Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Spaoh sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Spaoh untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Menurut kenyataan APM Daerah Spaoh, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) menerima panggilan kecemasan daripada seorang guru sekolah berkenaan pada 8.43 pagi yang memaklumkan keadaan kedua-dua pelajar terbabit.
Susulan panggilan itu, lima anggota Skuad Charlie APM Spaoh yang diketuai Sarjan Pertahanan Awam (PA) Kamarrul Badarudin digerakkan ke lokasi untuk memberikan bantuan.
Setibanya di sekolah, anggota APM menjalankan pemeriksaan awal terhadap kedua-dua pelajar bagi menilai keadaan mereka.
Pemeriksaan mendapati seorang pelajar terbaring dalam keadaan lemah tetapi masih memberikan respons, manakala seorang lagi mengalami kesukaran bernafas.
Anggota APM kemudian memberikan rawatan awal dan mengambil langkah bersesuaian untuk membantu menstabilkan keadaan kedua-dua pelajar berkenaan.
Selepas keadaan mereka distabilkan, kedua-duanya dibawa menggunakan ambulans APM ke Klinik Kesihatan Spaoh sebelum diserahkan kepada pegawai perubatan untuk rawatan dan pemantauan lanjut.
Tindakan pantas pihak sekolah menghubungi APM membolehkan bantuan kecemasan diberikan dengan segera kepada kedua-dua pelajar terbabit.
Bagaimanapun, punca sebenar masalah kesihatan yang dialami mereka tidak dinyatakan dalam kenyataan berkenaan.
Oleh Adi Safarman





