Pesta Berpintal bakal satukan persatuan belia di Lawas

Facebook
WhatsApp
BELIA SEPAKAT...(Enam dari kiri) Steve Lius mempengerusikan mesyuarat pertama Program Berpintal 2027 di Lawas.

LAWAS, 28 Oktober: Pesta Berpintal yang dijadualkan berlangsung pada awal tahun depan bakal menjadi platform menghimpunkan pelbagai persatuan dan pertubuhan belia di sini bagi memperkukuh kerjasama serta semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda.

Pengerusi Penganjur, Steve Lius berkata, program itu akan melibatkan pelbagai persatuan dan pertubuhan belia, termasuk sayap Pemuda dan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Menurutnya, perkataan ‘berpintal’ dalam bahasa Melayu Brunei membawa maksud menganyam atau menyulam, sekali gus melambangkan usaha menyatukan golongan muda menerusi pelbagai aktiviti di bawah satu program.

“Kita akan melibatkan semua persatuan dan pertubuhan belia, termasuk sayap Pemuda PBB dan Wanita PBB.

“Setiap persatuan akan menganjurkan acara mengikut bidang dan kegiatan masing-masing, seperti persatuan memanah, persatuan burung murai serta persatuan wanita dengan aktiviti mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan mesyuarat bersama beberapa persatuan di Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Lawas, di sini, hari ini.

Steve yang juga Exco Pergerakan Pemuda PBB Sarawak berkata, penganjuran pesta itu turut bertujuan menyediakan ruang kepada golongan muda untuk mengasah bakat kepimpinan serta memperlihatkan keupayaan mereka menggerakkan persatuan masing-masing.

Jelasnya, pihak penganjur kini sedang mengenal pasti persatuan yang berminat untuk mengambil bahagian serta jenis aktiviti yang akan dilaksanakan sepanjang pesta berkenaan.

“Buat masa ini, kita sedang mengumpulkan beberapa persatuan yang ada bagi mengenal pasti acara yang akan mereka anjurkan.

“Semua acara itu kemudian akan disusun di bawah satu payung yang dikenali sebagai Pesta Berpintal, yang membawa semangat menganyam erat perpaduan dan kerjasama belia di Lawas,” katanya.

Oleh Adeng Edrus