KUCHING, 28 Oktober: Pusat Khidmat Parlimen Stampin meneruskan penganjuran Program Kembali ke Sekolah tahunannya dengan mengagihkan kit persekolahan kepada murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Stampin dan SJK Chung Hua No. 2 sebagai persediaan menghadapi sesi persekolahan baharu.
Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian berkata, inisiatif itu bertujuan membantu meringankan beban kewangan keluarga, selain memberikan galakan kepada murid untuk terus berusaha dalam pelajaran.
Menurutnya, beliau gembira melihat keterujaan dan senyuman murid ketika menerima kit persekolahan masing-masing semasa lawatan ke kedua-dua sekolah berkenaan.
Walaupun bantuan yang disalurkan bersifat sederhana, katanya, ia diharap dapat memberikan manfaat kepada murid serta keluarga yang sedang membuat persiapan untuk sesi persekolahan baharu.

Kong berkata, program tahunan itu bukan sekadar menyediakan kelengkapan persekolahan, malah menjadi tanda keprihatinan masyarakat terhadap pendidikan dan masa depan generasi muda.
Jelasnya, usaha berkenaan turut membawa mesej bahawa murid sentiasa mendapat perhatian dan sokongan masyarakat dalam usaha mencapai cita-cita masing-masing.
Sehubungan itu, beliau berharap murid akan terus belajar dengan bersungguh-sungguh, mengekalkan sifat ingin tahu dan tidak takut untuk mempelajari perkara baharu.
Beliau turut berharap sumbangan kit persekolahan itu dapat menyuntik semangat kepada murid untuk terus maju serta berusaha menjadi insan yang lebih baik pada masa depan.
Oleh Connie Chieng



