SARIKEI, 28 Oktober: Tindakan pantas orang awam menggunakan air paip berjaya memadamkan kebakaran sebuah dapur kayu yang digunakan untuk memanggang makanan di luar rumah di Lorong 2C, Jalan Kenari malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada 8.05 malam.
“Komander operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Kilok Lampas dan enam anggota bomba digerakkan ke lokasi.
“Setibanya di lokasi, didapati berlaku kebakaran pada dapur kayu yang digunakan untuk memanggang makanan di luar rumah.

Katanya, operasi bermula pada 8.14 malam dengan anggota bomba menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
“Kebakaran tidak melibatkan struktur bangunan. Api telah dipadamkan oleh orang awam menggunakan air paip,” katanya ketika dihubungi.
“Komander operasi membuat penilaian awal seterusnya mengarahkan anggota membuat pemantauan bagi memastikan api telah padam sepenuhnya.
“Peratusan kebakaran adalah 50 peratus daripada keseluruhan dapur kayu,” katanya.
Tambahnya, operasi selesai sepenuhnya pada 8.22 malam.
Oleh Earl Anek





