Rumah setingkat musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Sungai Bedil Besar

Facebook
WhatsApp
RUMAH setingkat musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Sungai Bedil Besar, Petra Jaya.

PETRA JAYA, 27 Oktober: Sebuah rumah satu tingkat musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Sungai Bedil Besar, di sini, malam ini.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.32 malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya digerakkan ke lokasi dengan bantuan BBP Tabuan Jaya.

“Setibanya di lokasi pada 8.39 malam, didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal satu tingkat berkeluasan 20 x 60 kaki yang telah terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Seramai 18 anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) terlibat dalam operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua nozel serta bekalan air daripada pili bomba berhampiran.

MARAK… Kebakaran memusnahkan 100 peratus sebuah rumah jenis kekal satu tingkat di Kampung Sungai Bedil Besar.

Jelasnya, kebakaran berjaya dikawal pada 8.49 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 10.02 malam.

“Tiada mangsa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

“Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” tambahnya.

Operasi diketuai PBK II Awang Ismail Awang Masri dengan pemantauan Ketua BBP Petra Jaya, TPgB II Mohamad Rafie Saibi.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sesco turut berada di lokasi bagi membantu operasi.