Penjawat awam ditahan miliki syabu, positif dadah di Serian

Facebook
WhatsApp
SIASATAN... Suspek ditahan selepas ditemukan memiliki bahan disyaki syabu di sebuah rumah kebun di Jalan Munggu Kopi, Serian.

SERIAN, 27 Oktober: Seorang penjawat awam berusia 29 tahun ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 0.54 gram di sebuah rumah kebun di Kampung Rayang, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Serian, Superintendan Freddy Bian Stanislaus Bian berkata, tangkapan dilakukan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian.

“Suspek yang bertugas sebagai penjawat awam di Daerah Serian didapati memiliki bahan yang disyaki syabu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Freddy berkata, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama selepas ujian saringan awal air kencing didapati positif methamphetamine dan amphetamine.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, selain boleh dikenakan perintah pengawasan polis mengikut peruntukan undang-undang.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penyalahgunaan dadah dan ketum supaya menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras gejala berkenaan.

“Pihak polis, khususnya Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Serian, akan mengambil tindakan tegas terhadap pengedar dadah serta pengguna dadah berulang mengikut Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Menurutnya, pesalah berulang yang disabitkan kesalahan di bawah peruntukan berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga tujuh tahun serta sebatan tidak melebihi tiga kali.

Oleh Connie Chieng