RM983,000 diperuntukkan bagi lima projek RTP di Pelawan

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee ketika mengadakan lawatan ke lima tapak projek di Sibu hari ini.

SIBU, 27 Oktober: Sebanyak RM983,000 diperuntukkan menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi melaksanakan lima projek pembangunan dan menaik taraf kemudahan awam di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, projek berkenaan melibatkan penambahbaikan kemudahan gereja, taman rekreasi, kawasan lapang dan gelanggang bola keranjang bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.

“Peruntukan ini membolehkan kemudahan sedia ada ditambah baik supaya lebih selesa, selamat dan dapat dimanfaatkan oleh masyarakat,” katanya ketika menghadiri majlis penyerahan projek RTP hari ini.

Daripada jumlah itu, RM200,000 diperuntukkan bagi kerja kalis air dan penggantian bumbung di Gereja Wesley Methodist bagi mengatasi masalah kebocoran yang berlaku, khususnya akibat reka bentuk bumbung rata dan keadaan cuaca tropika.

Sementara itu, projek fasa kedua menaik taraf taman di Lorong Cherry 10 menerima peruntukan RM200,000, manakala RM83,000 diperuntukkan bagi projek di Kwong Ann 3.

MANFAAT PENDUDUK… Lima projek RTP di kawasan DUN Pelawan bakal menyediakan kemudahan awam yang lebih selesa dan selamat untuk kegunaan masyarakat setempat.

Bagi taman di Lorong Kwong Ann 5, sebanyak RM300,000 diperuntukkan untuk fasa kedua yang merangkumi pemasangan lampu LED, laluan pejalan kaki berpermukaan getah, taman permainan kanak-kanak serta penambahbaikan landskap.

Tiang berkata kemudahan laluan pejalan kaki menjadi antara keutamaan projek di taman berkenaan kerana kawasan itu sering dikunjungi penduduk untuk aktiviti riadah, namun sebelum ini tidak mempunyai trek berjalan kaki yang sesuai.

“Kita mahu menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk penduduk, termasuk laluan berjalan kaki dan ruang permainan kanak-kanak, di samping menambah baik landskap taman,” katanya.

Dalam pada itu, gelanggang bola keranjang Sungai Antu menerima peruntukan RM200,000 bagi menaik taraf tempat duduk penonton daripada struktur kayu kepada konkrit serta menambah bilangan tingkat tempat duduk daripada lima kepada tujuh.

Beliau berkata, kerja berkenaan dijangka meningkatkan kapasiti penonton daripada kira-kira 500 kepada 700, sekali gus menyediakan kemudahan lebih baik untuk menyokong perkembangan sukan bola keranjang yang popular dalam kalangan masyarakat Sibu.

Projek naik taraf gelanggang itu bermula pada 12 Oktober dan dijangka siap dalam tempoh kira-kira tiga bulan, manakala empat projek lain dijadualkan bermula pada 6 November.

Oleh Tarani Lanting