MARUDI, 27 Oktober: Pendidikan bukan hanya untuk mereka yang berada di bangku sekolah, sebaliknya merupakan hak setiap individu tanpa mengira usia dan latar belakang.
Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Marudi, Asrul Abdullah berkata, usia bukan penghalang untuk seseorang menimba ilmu, khususnya dalam menguasai kemahiran asas membaca dan menulis.
Menurutnya, meskipun kemahiran membaca dan menulis dianggap sebagai perkara biasa dalam kehidupan seharian, ia merupakan satu pencapaian besar bagi individu yang sebelum ini belum menguasai kemahiran berkenaan.
“Setiap huruf yang dikenal pasti, setiap perkataan yang berjaya dibaca dan setiap nama yang mampu ditulis sendiri merupakan satu kejayaan yang amat besar.
“Pendidikan bukan sahaja memberikan ilmu, malah membina keyakinan diri, memupuk sikap berdikari dan membuka peluang kepada seseorang untuk menjalani kehidupan yang lebih baik.
“Selagi ada kemahuan, selagi itulah peluang untuk menambah ilmu sentiasa terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Graduasi Pendidikan Literasi Fungsian (PLF) Hakiki Kampung Narum, Marudi, yang berlangsung di Bilik Seminar Dewan Suarah Marudi, hari ini.
Program anjuran Unit Pembangunan Komuniti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Baram itu menyaksikan seramai 12 peserta berjaya menamatkan pembelajaran Kelas PLF 2026.
Mengulas lanjut, Asrul berkata, program berkenaan bukan sahaja memberikan penekanan terhadap kemahiran asas membaca dan menulis, malah turut memperkenalkan peserta kepada penggunaan teknologi digital dalam kehidupan seharian.
Katanya, telefon bimbit pada masa kini bukan sekadar alat untuk membuat panggilan, tetapi turut menjadi medium komunikasi, mendapatkan maklumat dan menguruskan pelbagai urusan harian.
Justeru, beliau berkata, pendedahan kepada penggunaan telefon bimbit secara bijak merupakan langkah penting bagi membantu masyarakat menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi semasa.
“Saya berharap kejayaan hari ini menjadi titik permulaan kepada perjalanan pembelajaran yang berterusan.
“Teruskan berlatih membaca dan menulis serta gunakan kemahiran yang telah dipelajari dalam urusan seharian,” katanya.
Beliau turut mengesa peserta supaya menjadikan kejayaan tersebut sebagai inspirasi kepada ahli keluarga, jiran tetangga dan masyarakat kampung bahawa tidak pernah terlambat untuk belajar.
Dalam pada itu, Asrul merakamkan penghargaan kepada pihak KEMAS dan semua tenaga pengajar atas komitmen serta kesabaran dalam membimbing peserta sepanjang program berlangsung.
“Syabas dan tahniah kepada pihak KEMAS serta semua tenaga pengajar atas usaha dan komitmen dalam mendidik masyarakat.
“Usaha seperti ini mungkin kelihatan kecil pada pandangan sesetengah pihak, namun impaknya amat besar kepada kehidupan individu yang menerima manfaatnya,” katanya.
Oleh Jiku Juguong





