Kejohanan Badminton TEAM GST erat hubungan komuniti menerusi sukan

Facebook
WhatsApp
PERPADUAN… Kejohanan Persahabatan Badminton TEAM GST menjadi platform mengeratkan hubungan peserta pelbagai kaum dan latar belakang menerusi aktiviti sukan.

KUCHING, 24 Oktober: Seramai 32 pemain menyertai Kejohanan Persahabatan Badminton TEAM GST di Sentosa Sports Centre, di sini, bagi mengeratkan hubungan persahabatan, memupuk kerjasama berpasukan dan memperkukuh semangat kemasyarakatan menerusi aktiviti sukan.

Kejohanan yang mempertandingkan acara beregu campuran itu menggunakan kaedah undian rawak bagi menentukan pasangan pemain, sekali gus memberi peluang kepada peserta untuk berinteraksi dan membina hubungan baharu.

Ketua Biro Aduan Awam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Milton Foo berkata, format pertandingan tersebut membolehkan pemain menyesuaikan diri dengan gaya permainan pasangan masing-masing, selain menggalakkan semangat kerjasama dan persahabatan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan kejohanan berkenaan sebagai tetamu kehormat.

Menurutnya, penganjuran aktiviti sukan di peringkat akar umbi memainkan peranan penting dalam menggalakkan gaya hidup sihat dan mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, katanya, aktiviti seumpama itu turut menyediakan ruang positif kepada golongan muda untuk memanfaatkan masa lapang melalui kegiatan yang berfaedah.

Kejohanan tersebut melibatkan 16 pasukan dengan pemain lelaki dan wanita digandingkan secara rawak pada hari pertandingan.

Peserta berusia antara 16 hingga 52 tahun itu terdiri daripada pelajar, golongan bekerja, pemilik perniagaan dan pesara daripada masyarakat Melayu, Iban dan Cina.

Foo turut mengambil bahagian dalam perlawanan persahabatan bersama pasangan yang ditentukan menerusi undian rawak.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk terus menyokong pembangunan sukan komuniti dan berharap lebih banyak program seumpama itu dapat dianjurkan pada masa hadapan.

Dari segi format pertandingan, kejohanan menggunakan sistem kalah mati dengan perlawanan 30 mata pada pusingan kelayakan, diikuti perlawanan 21 mata pada peringkat separuh akhir.

Hadiah disampaikan kepada empat pasukan terbaik kejohanan tersebut.

Oleh Connie Chieng