Ancaman jerebu terhadap hidupan liar Sarawak masih terkawal

Facebook
WhatsApp
PENGURUS Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran ditemu bual Utusan Sarawak.

TANJUNG MANIS, 26 Oktober: Ancaman jerebu rentas sempadan terhadap hidupan liar dan habitat semula jadi di Sarawak masih terkawal, namun langkah kesiapsiagaan terus diperkukuh bagi menghadapi kemungkinan kebakaran hutan yang boleh menjejaskan ekosistem negeri ini.

Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Abang Arabi Abang Aimran berkata, keadaan jerebu yang melanda Sarawak setakat ini tidak menimbulkan kebimbangan serius terhadap hidupan liar kerana situasinya masih terkawal.

Katanya, jerebu yang berlaku di negeri ini berpunca daripada pencemaran udara rentas sempadan dari negara jiran dan bukannya daripada kebakaran hutan tempatan.

“Di Sarawak ini, kita tidak menghadapi implikasi jerebu yang boleh mengganggu kesihatan hidupan liar kerana jerebu bukan berpunca dari Sarawak, sebaliknya berasal dari negara jiran.

“Bagi kita di sini, tahap kebimbangan terhadap gangguan kepada hidupan liar atau habitatnya akibat jerebu tidaklah begitu tinggi.

“Kita boleh katakan bahawa keadaan hidupan liar yang terdedah kepada jerebu di Sarawak masih terkawal,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak pada Majlis Pecah Tanah Kilang Spun Pile & Pole di Bandar Baru Tanjung Manis, hari ini.

Bagaimanapun, Abang Arabi menegaskan bahawa keadaan itu tidak bermakna SFC boleh mengambil mudah ancaman kebakaran hutan, khususnya ketika cuaca panas dan kering yang berpotensi meningkatkan risiko kebakaran di kawasan berhutan.

Katanya, SFC sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan memantau sebarang kemungkinan kebakaran yang boleh mengancam kawasan perlindungan, habitat semula jadi dan keselamatan hidupan liar.

“Bagaimanapun, SFC bersama agensi penguatkuasaan lain sentiasa berwaspada bagi mengekang sebarang kemungkinan berlakunya kebakaran hutan.

“Kita sentiasa bersiap siaga, terutama melalui kerjasama dengan pasukan seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta rakan agensi penguatkuasaan seperti Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS),” katanya.

Kerjasama antara agensi itu penting dalam menghadapi ancaman kebakaran hutan yang bukan sahaja berpotensi memusnahkan tumbuh-tumbuhan, malah turut menjejaskan keseimbangan ekosistem dan habitat hidupan liar.

Kebakaran yang tidak dikawal pada peringkat awal boleh menyebabkan kehilangan sumber makanan, kawasan perlindungan dan tempat pembiakan haiwan, sekali gus mengancam kelangsungan spesies yang bergantung pada habitat berkenaan.

Gangguan habitat akibat kebakaran juga boleh menyebabkan hidupan liar keluar dari kawasan asal untuk mencari tempat perlindungan dan sumber makanan baharu. Keadaan ini berpotensi meningkatkan risiko haiwan liar menghampiri kawasan penempatan atau pertanian, sekali gus mencetuskan konflik antara manusia dengan hidupan liar.

Walaupun keadaan jerebu di Sarawak masih terkawal, risiko kebakaran hutan tetap memerlukan perhatian berterusan kerana kesannya terhadap alam sekitar boleh berlanjutan walaupun selepas kebakaran berjaya dipadamkan.

Justeru, kesiapsiagaan dan kerjasama antara agensi amat penting dalam melindungi khazanah biodiversiti Sarawak daripada ancaman kebakaran serta memastikan habitat semula jadi terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Oleh Earl Anek