MANCHESTER, United Kingdom: Pengendali Manchester United, Michael Carrick mengakui masa depannya bersama kelab itu masih belum menentu selepas kekalahan memalukan 0-3 kepada Bournemouth di Old Trafford, malam tadi.
Kekalahan tersebut menyaksikan juara England sebanyak 20 kali itu gagal mencatat kemenangan dalam lapan perlawanan berturut-turut dalam semua pertandingan, sekali gus menyebabkan mereka kini hanya dipisahkan satu mata daripada zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris (EPL).
Carrick berkata, beliau akan sentiasa mengutamakan kepentingan Manchester United meskipun kedudukannya sebagai pengendali semakin menjadi tanda tanya.
“Ini situasi yang sukar. Apa yang akan berlaku selepas ini? Saya tidak tahu.
“Saya akan sentiasa melakukan apa yang terbaik untuk kelab bola sepak ini. Saya sudah menyatakannya sejak awal dan pendirian itu tidak berubah.
“Saya menyukai tugas yang saya lakukan dan tanggungjawab yang diberikan, tetapi kita perlu tunggu dan lihat,” katanya kepada Sky Sports.
Ketika ditanya pada sidang media selepas perlawanan sama ada beliau menjangkakan akan dipecat dalam beberapa hari akan datang, Carrick berkata, beliau memahami sepenuhnya situasi yang sedang dihadapi kelab
“Saya benar-benar memahami keadaan sekarang. Sejujurnya, saya tidak menjangkakan apa-apa perkara tertentu.
“Saya akan meneruskan tugas seperti biasa. Saya sangat menyayangi kelab ini,” katanya.
Walaupun United terus mencatat keputusan mengecewakan, sebahagian besar penyokong masih memberikan sokongan kepada bekas pemain tengah itu ketika beliau meninggalkan padang selepas tamat perlawanan.
Bagaimanapun, penyokong kemudian melepaskan rasa tidak puas hati terhadap barisan pemain United.
“Saya mempunyai perasaan bercampur baur apabila menerima sokongan penyokong dalam keadaan yang sedang kami lalui sekarang.
“Saya memerlukan sedikit masa untuk menghadam perkara itu.
“Saya menghargai sokongan mereka, tetapi hakikatnya keadaan kami sekarang memang sukar. Prestasi kami masih belum cukup baik,” katanya.
Dalam perlawanan tersebut, keputusan Carrick merehatkan kapten pasukan, Bruno Fernandes, di bangku simpanan ternyata tidak membuahkan hasil.
Lebih mengejutkan, pemain antarabangsa Portugal itu langsung tidak diturunkan sebagai pemain gantian sepanjang perlawanan.
Fernandes yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik EPL musim lalu sebelum ini mengkritik pendekatan taktikal Carrick selepas United dibelasah Como 1-4 pada Rabu lalu.
Carrick sebelum perlawanan menegaskan keputusan mengetepikan Fernandes dibuat semata-mata atas pertimbangan bola sepak.
Namun, tindakan membiarkan pemain itu berada di bangku simpanan sepanjang 90 minit menimbulkan persoalan sama ada keputusan tersebut mempunyai kaitan dengan kritikan yang disuarakannya.
“Dalam setiap perlawanan, ada masanya kita perlu cuba mengubah keadaan dan melakukan sesuatu yang boleh memberikan perbezaan.
“Itulah keputusan yang kami buat hari ini,” kata Carrick ketika mengelak daripada memberikan penjelasan lanjut mengenai ketiadaan Fernandes di atas padang.
Carrick dilantik sebagai pengendali tetap Manchester United menerusi kontrak dua tahun pada Mei lalu selepas kejayaannya ketika memangku jawatan tersebut membantu pasukan menamatkan saingan EPL di tangga ketiga musim lalu.
Bagaimanapun, beliau masih gagal menghentikan kemerosotan berterusan kelab itu sejak persaraan bekas pengurusnya, Sir Alex Ferguson, pada 2013.
United turut ketinggalan berbanding beberapa pencabar utama dari segi perbelanjaan dalam pasaran perpindahan pemain apabila hanya membawa masuk tiga pemain tengah, iaitu Youri Tielemans, Andrey Santos dan Carlos Baleba.
Namun, Carrick menegaskan kekurangan pelaburan dalam skuad tidak boleh dijadikan alasan terhadap kemerosotan mendadak prestasi pasukan
“Menamatkan saingan di tempat ketiga musim lalu merupakan pencapaian yang sangat baik berdasarkan keadaan ketika itu.
“Kami memahami kedudukan kami, apa yang perlu dilakukan selepas itu, bagaimana kami perlu memperbaiki prestasi serta tahap sebenar pasukan ketika itu.
“Saya sememangnya sedar bahawa kami masih belum menyelesaikan semua masalah dan banyak kerja perlu dilakukan.
“Namun, itu tidak bermakna keadaan sepatutnya menjadi seteruk ini,” katanya. — AFP





