MANCHESTER, United Kingdom: Krisis Manchester United semakin meruncing apabila mereka tewas 0-3 kepada Bournemouth di Old Trafford sebentar tadi, sekali gus memanjangkan rekod tanpa kemenangan kepada lapan perlawanan dan meningkatkan tekanan terhadap pengurus Michael Carrick.
Kekalahan itu menyaksikan United berada di tangga ke-16 Liga Perdana Inggeris (EPL), hanya satu mata di atas zon penyingkiran, selepas sekali lagi gagal mempamerkan prestasi meyakinkan di hadapan penyokong sendiri.
Bournemouth, yang turut mencatat kemenangan 3-0 di Old Trafford untuk kali ketiga dalam tempoh empat musim, memastikan kemenangan menerusi jaringan Rayan, Marcus Tavernier dan Evanilson.

Keputusan Carrick untuk menggugurkan kapten Bruno Fernandes daripada kesebelasan utama turut mengundang perhatian, khususnya selepas pemain tengah itu mengkritik taktikal pengurus berkenaan susulan kekalahan 1-4 kepada Como pada Rabu.
Carrick menegaskan keputusan itu dibuat atas pertimbangan bola sepak semata-mata, namun Fernandes langsung tidak diturunkan sepanjang perlawanan, ketika United bergelut untuk bangkit daripada ketinggalan.
Rayan membuka jaringan pada minit ke-38 menerusi penyudah hasil sepakan percuma Justin Kluivert sebelum Tavernier menggandakan kelebihan Bournemouth lima minit kemudian selepas Leny Yoro gagal mengawal situasi di bahagian pertahanan.

Evanilson kemudian melengkapkan kemenangan pasukan pelawat dengan gol ketiga kira-kira 20 minit sebelum tamat perlawanan, selepas memperdaya penjaga gol Senne Lammens dan melakukan penyudah dari sudut sempit.
United turut bernasib baik apabila satu lagi jaringan Evanilson pada awal babak kedua dibatalkan kerana ofsaid, manakala beberapa peluang tambahan Bournemouth gagal disempurnakan.
Kekalahan itu menambah tekanan terhadap Carrick, yang sebelum ini membantu United menamatkan musim lalu di tempat ketiga ketika bertugas sebagai pengurus interim.

Namun, United hanya merekodkan dua kemenangan dalam 12 perlawanan merentas semua kejohanan musim ini, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kemampuan pasukan itu untuk kembali ke landasan kemenangan.
Pada penghujung perlawanan, penyokong United meluahkan kemarahan terhadap keluarga Glazer, pemilik kelab yang tidak popular dalam kalangan penyokong, manakala Carrick bertepuk tangan ke arah penyokong di Stretford End ketika berjalan menuju ke terowong pemain.
Dengan prestasi pasukan yang terus merosot, Carrick berdepan tekanan yang semakin meningkat ketika United berusaha mengelakkan kemerosotan lebih jauh dalam saingan liga. – AFP



