Abang Johari mahu PERKIM perkukuh bimbingan, kebajikan saudara baharu

Facebook
WhatsApp
ABANG Johari ketika menyampaikan ucapan berhubung keperluan PERKIM memperbaharui pendekatan dakwah menerusi penggunaan teknologi digital bagi mendekati golongan muda.

KUCHING, 25 Oktober: Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM) perlu memperkukuh bimbingan agama dan sokongan kebajikan kepada saudara baharu bagi memastikan mereka terus mendapat perhatian serta bantuan selepas memeluk Islam.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tanggungjawab pertubuhan itu tidak seharusnya terhenti selepas seseorang memeluk Islam, sebaliknya perlu diteruskan melalui bimbingan agama, pendidikan dan sokongan bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu.

Beliau yang juga Yang Dipertua PERKIM berkata, perhatian berterusan penting bagi memastikan saudara baharu bukan sahaja memahami ajaran Islam, malah mendapat sokongan dalam aspek kehidupan dan kesejahteraan diri.

PENGERUSI PERKIM Sarawak, Dato’ Hanifah Hajar Taib-Alsree menyampaikan plak bermotifkan tulisan Arab kepada Abang Johari sebagai tanda penghargaan.

Usaha itu turut merangkumi pembangunan kemahiran serta sokongan kepada keluarga bagi membantu meningkatkan taraf hidup golongan berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Ke-65 di Hotel Pullman Kuching, malam ini.

Dalam ucapannya, Abang Johari turut menekankan kepentingan pendekatan dakwah yang berhikmah, sederhana dan penuh ihsan, khususnya dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Sarawak.

ABANG Johari bergambar kenangan bersama barisan kepimpinan PERKIM Pusat dan PERKIM Sarawak pada majlis berkenaan.

Katanya, penyampaian dakwah perlu mengambil kira kepelbagaian masyarakat serta dilaksanakan dengan bijaksana bagi memelihara hubungan baik dan keharmonian antara penganut agama.

Beliau turut menekankan kepentingan memperkasakan institusi wakaf sebagai sumber pembiayaan jangka panjang bagi menyokong usaha pendidikan, kebajikan saudara baharu dan peningkatan kesejahteraan masyarakat.

Gabungan bimbingan agama, sokongan kebajikan dan pendekatan dakwah yang berhikmah penting bagi memastikan PERKIM terus membantu saudara baharu menyesuaikan diri serta menyumbang kepada keharmonian masyarakat.

Oleh Afiq Sallehi